Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga runcit maksimum kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan RM19.90
Diterbitkan:  Sep 2, 2021 12:46 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Kerajaan menetapkan harga runcit kawalan bagi kit ujian kendiri Covid-19 pada RM19.90, berkuat kuasa Ahad ini, manakala harga borong kit ujian itu pula adalah pada harga maksimum RM16.

Menerusi kenyataan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan itu berikutan permintaan kit berkenaan dijangka meningkat kerana kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri bagi memastikan diri bebas daripada wabak Covid-19.

“Sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak Covid-19, kerajaan akan membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) yang akan berkuat kuasa pada 5 September di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” kata mereka.

Menurut kenyataan itu, KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka.

Mereka juga memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi haraga kawalan itu.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta

Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

“Kesalahan menjual melebihi harga maksimum - individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“(Manakala keslah buat) syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” kata kenyataan itu.

Kementerian juga menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga dan mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 adalah peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh MDA, KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit Covid-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab dari hidung.

Lihat Komen
ADS