Pihak polis terus melakukan siasatan terhadap aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berkaitan himpunan protes kedua #Lawan yang telah dibatalkan.

Peguam, Rajsurian Pillai mengesahkan tujuh aktivis berkenaan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 10 pagi Sabtu ini bagi memberikan keterangan tambahan berhubung siasatan berkaitan hasutan.

Tujuh aktivis terbabit ialah Amir Abdul Hadi, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew, dan Sarah Irdina.

Pada 13 Ogos lalu, mereka dipanggil pihak polis berkaitan peranan mereka dalam merancang demontrasi kedua #Lawan.

Ini selepas SSR mengumumkan mereka merancang demontrasi pada 21 Ogos susulan himpunan pertama pada Julai bagi menuntut perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Protes kedua itu bagaimanapun dibatalkan setelah Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos.

Aktivis terbabit disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan kandungan menghasut; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perhidmatan rangkaian.

Rajsurian sebelum ini berkata pihak polis memanggil aktivis berkenaan untuk disiasat setelah banyak laporan diterima daripada orang awam terhadap perhimpunan yang dirancang di Dataran Merdeka itu.

Sementara itu, Qyira Yusri berkata, tiada keperluan kepada pihak polis untuk memanggil aktivis terbabit kerana mereka telah berkali-kali memberikan kerjasama ketika disoal siasat.

“Tambahan pula, penggunaan undang-undang kolonial seperti Akta Hasutan untuk menakut-nakutkan dan mengganggu aktivis muda adalah satu salah guna kuasa.

"Saya juga tertanya-tanya mengapa ada keperluan untuk memanggil kami dua kali dalam siasatan yang sama, apakah ini menunjukkan tahap kecekapan mereka?" soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Qyira dan aktivis lain dari SSR sebelum ini disiasat kerana himpunan #Lawan pertama pada 19 Ogos lalu.

Mereka dikenakan kompaun sebanyak RM2000 setiap seorang kerana menganjurkan acara nyalaan lilin bagi memperingati mangsa Covid-19.