FGV Holdings Berhad hari ini memberi penjelasan berhubung penafian NGO Tenaganita bahawa kerjasasama dengan agensi itu sebahagian daripada usaha untuk menangani Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat. 

FGV dalam satu kenyataan berkata, walaupun ia merujuk kepada kerjasama antara FGV dan Tenaganita semasa sesi soal jawab ketika taklimat keputusan suku tahunan FGV baru-baru ini, namun kerjasama itu dilakukan dalam konteks usaha keseluruhan FGV untuk meningkatkan amalan buruhnya dan bukan sebagai sebahagian daripada langkah-langkah khusus FGV untuk menangani WRO CBP Amerika Syarikat.

Kata FGV, langkah-langkah yang diambil oleh pihaknya adalah untuk mendapatkan pembatalan WRO telah diketengahkan dalam kenyataannya bertarikh 30 Ogos 2021.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, FGV telah memperhebatkan usahanya untuk memastikan kepatuhan terhadap hak asasi manusia dan piawaian buruh dan ini dilakukan melalui gabungan program dan inisiatif yang memfokuskan kepada pelbagai aspek amalan buruh termasuk prosedur pengambilan pekerja, mekanisme aduan, program pembinaan keupayaan dan latihan hak asasi manusia, serta sistem pemantauan pematuhan buruh, antara lain.

"FGV menganggap kerjasamanya dengan Tenaganita untuk membangunkan modul latihan hak asasi manusia – untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pekerja mengenai hak asasi manusia mereka – sebagai komponen penting dalam komitmen jangka panjang dan agenda menyeluruh FGV untuk memperkuat dan meningkatkan amalan buruhnya," kata FGV dalam kenyataannya.

Pada 30 Ogos, Ketua Bahagian Kemampanan Kumpulan FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim dilaporkan berkata GLC itu sedang menangani WRO itu bersama NGO seperti Tenaganita.

Nurul Hasanah berkata pihaknya bekerja bersama dengan beberapa badan bukan kerajaan lain, juga di bawah inisiatif payung (bersama Fair Labor Association), termasuk dengan kumpulan hak migran, Tenaganita, untuk meningkatkan kesedaran pekerja asing mengenai hak-hak mereka.

Bagaimanapun, NGO Hak Migran Tenaganita menjelaskan urusannya bersama FGV Holdings Berhad tiada kaitan untuk membantu syarikat perladangan itu menangani masalahnya dengan CBP Amerika Syarikat.

Tenaganita juga berkata hubungannya dengan syarikat berkaitan kerajaan itu tidak membuktikan pihaknya "menyokong" amalan buruhnya.

Mengulas lanjut, FGV berkata pihaknya amat menghargai hubungan kerjanya dengan semua rakan kongsi termasuk Tenaganita dan tidak berniat untuk memanfaatkan kerjasamanya dengan Tenaganita atau organisasi lain untuk menambah kredibiliti dalam rekod hak asasi manusia FGV.

"FGV yakin bahawa prestasi hak asasi manusianya hanya dapat ditentukan dengan menilai secara objektif penerapan prinsip hak asasi manusia dan piawaian buruh dalam operasinya.

"FGV berharap dapat terus bekerjasama dengan Tenaganita dalam projek yang telah kami mulakan bersama dan yakin bahawa ia akan membawa kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam dalam kalangan pekerja mengenai hak asasi manusia mereka, yang sangat penting dalam mewujudkan persekitaran di mana hak-hak pekerja dihormati dan dipenuhi.

"FGV akan membuat pengumuman lebih lanjut sekiranya terdapat perkembangan material yang berkaitan dengan perkara ini,"kata kenyataan itu.

CBP AS telah melarang semua produk minyak sawit dan minyak sawit FGV diimport ke Amerika Syarikat sejak 30 September 2020.

Tahun lalu, Kastam dan Kawalan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat mengharamkan import minyak sawit dari FGV Holdings (FGV) atas tuduhan bahawa syarikat itu menggunakan tenaga buruh paksa dalam proses pengeluaran.

CBP berkata, larangan itu hasil siasatan selama setahun yang mendedahkan wujudnya gejala buruh paksa.

Antara lain, ini termasuk penyalahgunaan ke atas mereka yang lemah, penipuan, keganasan fizikal dan seksual, intimidasi dan ancaman, penyimpanan dokumen pengenalan diri.

Siasatan itu juga menimbulkan kebimbangan bahawa tenaga buruh kanak-kanak juga mungkin digunakan dalam proses pengeluaran minyak sawit FGV.

Sebagai maklum balas, FGV menafikan mengamalkan buruh paksa dan dakwaan-dakwaan oleh CBP itu.

FGV berkata pekerja migrannya diambil bekerja melalui saluran undang-undang dan tidak ada pekerja kontrak.

FGV berkata syarikat itu meletakkan syarat kepada pembekal untuk mematuhi kod etika dan tidak bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah.