Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) kecewa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana tidak mahu menyahut cabaran supaya mengisytiharkan aset keluarganya.

Pengerusi Gerak, Mohd Ezam Mohd Nor berkata Abdullah mesti membuktikan dakwaan anaknya Kamaluddin, telah mengaut kekayaan dalam tiga tahun beliau berkuasa, adalah tidak benar.

Semalam, sewaktu bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara, Abdullah ditanya sama ada beliau bersedia untuk mengisytiharkan harta dan aset keluarganya berhubung dakwaan tersebut.

Dalam reaksinya, Perdana Menteri berkata, itu adalah hak keluarganya terhadap privasi harta mereka.

Oleh itu, kata Abdullah, tidak perlu baginya untuk membuat pengisytiharan tersebut dan mereka juga tidak melanggar apa-apa yang memerlukan mereka mengisytiharkan aset masing-masing.

Rabu lalu, Gerak telah membuat aduan polis terhadap Abdullah dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mendakwa mereka telah menyalahguna kuasa untuk menganugerahkan projek kerajaan bernilai ratusan juta ringgit kepada ahli keluarga dekat.

Sahut cabaran

Ketika membuat laporan tersebut, Ezam juga turut melampirkan 17 helaian maklumat bersumber laporan agensi kerajaan, surat dari Kementarian Kewangan serta pelbagai sumbder lain bagi menyokong dakwaan tersebut.

"Abdullah juga seharusnya menyahut cabaran untuk beliau mengisytiharkan aset keluarganya. Beliau mesti membuktikan dakwaan bahawa anak beliau mengaut kekayaan jauh berlipat ganda dari apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir kepada anak-anak beliau dalam masa tiga tahun awal berkuasa adalah tidak benar," kata Ezam dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sebagai seorang Perdana Menteri yang berazam untuk melahirkan kerajaan yang telus dan anti-rasuah, Abdullah seharusnya mengambil peluang itu untuk membuktikan bahawa beliau benar-benar serius dan komited dalam agendanya untuk membenteras rasuah.

"Malangya kenyataan beliau semalam jelas memperlihatkan sikap beliau yang tidak komited, tidak berani dan tidak mempunyai moral tinggi untuk membuktikan beliau benar-benar seorang Perdana Menteri yang bersih," tambah Ezam.

Kebelakangan ini, katanya, Dr Mahathir telah beberapa kali mendakwa Abdullah menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk memperkayakan anak dan keluarga.

"Beliau seharusnya menggunakan laporan polis yang dibuat oleh Gerak itu untuk membuktikan Dr Mahathir salah, dengan mengarahkan pihak polis untuk menyiasat secara telus dakwaan bekas Perdana Menteri itu yang sebahagianya terkandung dalam laporan polis yang dibuat itu," katanya.