Pemuda Merbok pertahan Dr Mahathir
Sebuah lagi Pergerakan Pemuda Umno bahagian tampil mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada `serangan' pemimpin Umno supaya keahlian Perdana Menteri itu digantung.
Sebuah lagi Pergerakan Pemuda Umno bahagian tampil mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada `serangan' pemimpin Umno supaya keahlian Perdana Menteri itu digantung.
Pemuda Umno Bahagian Merbok di Kedah itu mendakwa kenyataan Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid bersifat peribadi dan terpakai sebagai kedudukannya sebagai Ketua Pemuda Bahagian Langkawi sahaja.
"Beliau hanya berbincang dengan beberapa ketua pemuda dan bukannya melalui mesyuarat khas yang membabitkan semua ketua pemuda di Kedah," kata Ketuanya, Abdul Karim Ali dalam kenyataan media yang dihantar ke
malaysiakini
.
Berikutan itu, beliau mempersoalkan sikap muafakat dan kepimpinan Mohd Rawi selaku pemimpin Pemuda Umno Kedah.
Abdul Karim berkata, beliau kesal, malu dan jelek dengan kenyataan akhbar Mohd. Rawi yang mencadangkan supaya keahlian Umno Dr Mahathir digantung.
"Sebagai seorang yang tahu menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan bekas Perdana Menteri kepada negara, saya rasa kenyataan tersebut adalah keterlaluan.
"Saya juga menentang keras kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno Kepala Batas dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu, Mohd Sabri Alwi terhadap Dr Mahathir yang boleh diumpamakan sebagai 'lebih kuah dari nasi'," tambahnya.
Abdul Karim juga berkata, kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Negeri Sembilan, Datuk Ir. Jamlus Abd Aziz yang meminta supaya exco-exco Pemuda Umno Malaysia supaya jangan menjadi seperti 'api dalam sekam', turut menimbulkan pelbagai tandatanya dan membangkitkan rasa kurang senang di kalangan ahli Pemuda.
Suasana berpuak-puak
Ia juga, katanya, telah mewujudkan suasana berpuak-puak di kalangan ahli-ahli Pemuda dengan ada yang dilabel sebagai orang Perdana Menteri dan orang Dr Mahathir.
"Ini amat bercanggah dengan saranan Ketua Pemuda Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mahukan seluruh ahli Pemuda bersatu dan memberi fokus kepada agenda perjuangan pergerakan itu," katanya lagi.
Abdul Karim berkata, pada 1987 Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menentang dan mengkritik Dr Mahathir yang ketika itu menjadi Perdana Menteri.
Katanya, Abdullah tidak pernah diarah meletak jawatan sebagai menteri walaupun secara terang-terangan berkempen untuk cuba mengalahkan Dr Mahathir pada sesi pemilihan jawatan Presiden Umno ketika itu.
Sehubungan itu, katanya, demi perpaduan orang Melayu dan memastikan kelangsungan perjuangan Umno, Pemuda Merbok menyokong ketetapan Majlis Tertinggi (MT) yang menyarankan semua pihak diberi ruang perbincangan dalam menghadapi permasalahan ini.
Beliau berkata, semua pihak perlu memahami dengan teliti isu sebenar kritikan bekas Perdana Menteri, selain tidak melemparkan tohmahan dan tuduhan yang tidak berasas terhadap beliau semata-mata untuk mengalihkan pandangan umum daripada isu sebenar.
Baru-baru ini Pemuda Umno Kedah meminta keahlian Dr Mahathir digantung sementara Pemuda Umno Terengganu pula menggesa bekas Perdana Menteri itu keluar parti jika mahu mengkritik kerajaan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahadzir Khalid pula meminta bekas Presiden Umno itu melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) kerana terus mengkritik Abdullah.
Berikutan itu, beberapa bahagian Pemuda Umno termasuk Ipoh Barat, Tampin dan Petaling Jaya Utara menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan biadap.

