mk-logo
Berita
Raja Muda Selangor nafi terlibat pemaju terkini hutan Kuala Langat
Diterbitkan:  Sep 4, 2021 8:43 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah menafikan sebarang hubungan dengan pemaju semasa yang mempunyai hak untuk membangunkan separuh Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Hak tersebut kini dipegang oleh Gabungan Indah Sdn Bhd, sebuah syarikat yang kurang dikenali ditubuhkan pada November tahun lalu dengan modal berbayar sebanyak RM1.

"Berhubung isu Kuala Langat North Forest Reserve (KLNR), beta mengambil maklum bahawa terdapat beberapa golongan yang mempercayai bahawa beta telah mendapat keuntungan daripada keputusan pembangunan di kawasan tersebut. 

"Ingin beta tegaskan disini bahawa beta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Syarikat Gabungan Indah Sdn Bhd mahupun pembangunan tersebut," jelas Tengku Amir pada satu kenyataan hari ini.

Walaupun Tengku Amir tidak mempunyai hubungan dengan Gabungan Indah, raja muda itu terlibat dalam sebuah syarikat yang sebelum ini turut mencadangkan untuk memajukan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Tengku Amir pernah menjadi pengarah itian Jutaria Sdn Bhd, yang bersama-sama dengan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) telah mencadangkan pembangunan di hutan simpan itu awal tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat berkenaan kini kelihatan seperti tidak terlibat dengan rancangan pembangunan semasa hutan simpan itu.

Rekod Suruhanjaya Syarikat (CCM) menunjukkan bahawa Titian Jutaria, yang ditubuhkan pada bulan Disember 2018, telah dibubarkan.

Cadangan pembangunan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) kembali menjadi perhatian selepas kerajaan negeri Selangor mendedahkan telah menyahwarta separuh daripada hutan simpan tersebut.

Tengku Amir pada kenyataannya yang turut dikongsi di Instagram berkata baginda tetap prihatin terhadap alam sekitar dan sedar bagaimana pembangunan memberi kesan terhadap perubahan iklim.

"Beta berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memikul tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara tanah air kita. Kuatkuasakan undang-undang dan terus menjadi pelindung kepada komuniti setempat.

"Wujudkan komuniti lestari, prihatin, empati dan berpandangan jauh agar dapat memelihara alam sekitar. Rakyat Selangor tidak mahu merasa kehilangan khazanah permata ini. 

"Selaku warga Malaysia, semua pihak harus bersatu tenaga dalam memainkan peranan masing-masing untuk memelihara alam ini. 

"Tebus kekhilafan lalu dengan menyelamatkan alam sekitar hari ini," katanya.

Berikutan maklum balas keras mengenai penyahwartaan hutan simpan itu, PKR memanggil Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk menjelaskan perkara itu.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, menteri besar bersetuju untuk "menangguhkan" pennyahwartaan itu tetapi Amirudin masih belum tampil untuk mengesahkan perkara tersebut

Pun begitu, Amirudin disahkan telah diberi mandat oleh Pakatan Harapan Selangor untuk membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu (8 Sept) untuk perbincangan lebih lanjut.

Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) merupakan hutan paya gambut yang diiktiraf sebagai habitat flora dan fauna terancam, termasuk beruang matahari Malaya, ikan laga merah Langat, tupai terbang terkecil Selangor dan pohon meranti.

Ia juga merupakan sumber mata pencarian dan makanan bagi Orang Asli Temuan di sekitarnya.

Lihat Komen
ADS