KJ: Garis panduan umum untuk SOP
WAWANCARA | Prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung Covid-19 yang ada sekarang adalah rumit dan sukar difahami, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Bercakap pada sesi wawancara media khas baru-baru ini, Khairy berkata inilah sebabnya dia dan beberapa menteri lain berusaha meratakan "bergunung senarai" yang digunakan oleh Majlis Keselamatan Negara.
"Saya rasa terlalu banyak SOP berdasarkan sektor yang terlalu spesifik. Saya rasa kita perlu jadikannya cukup umum, supaya boleh diterapkan di seluruh sektor.
"Kita harus lebih jelas kepada orang ramai.
"Sekarang saya rasa orang ramai perlu habiskan banyak masa untuk cari senarai dan mengetahui apa yang berlaku. Kita ingin elakkan itu. Hanya senarai kecil SOP yang jelas, (untuk) tahap wabak yang berbeza," katanya.
Khairy, yang mengangkat sumpah sebagai menteri kesihatan minggu lalu, merujuk kepada pelbagai SOP yang dilaksanakan di seluruh negara dalam pelbagai fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sebelum ini rakyat Malaysia perlu mematuhi SOP bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berbeza, menyaksikan peraturan berlainan diterapkan untuk berbagai sektor dan lokasi.
Khairy pada Rabu lalu berkata kerajaan tidak akan lagi menggunakan pendekatan pembendungan total dan beralih kepada fasa untuk menganggap Covid-19 sebagai endemik.
Khairy berkata peraturan baru akan diperkenalkan bagi orang ramai untuk kembali kepada kehidupan normal dan pada masa yang sama menjaga keselamatan diri.
Menurut Khairy, dia sedang bekerjasama dengan menteri-menteri yang bertugas di MKN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk merumuskan SOP baru tersebut.
"Kita akan mulakan kerja minggu depan, dan saya yakin pada akhir September, kita akan dapat buat senarai SOP yang lebih mudah difahami," katanya.
Buka pelbagai sektor
Ditanya mengenai fasa endemik, Khairy berkata Kementerian Kesihatan komited untuk memastikan pembukaan pelbagai sektor dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan selamat.
Khairy berkata dia optimis bahawa kebanyakan sektor boleh dibuka sepenuhnya setelah Malaysia mencapai ke tahap itu.
Namun, katanya ada sektor-sektor tertentu di mana KKM akan lebih berhati-hati sebelum membenarkannnya kembali dibuka.
Ini termasuk acara yang melibatkan orang ramai yang perlu berkumpul di sesuatu tempat, seperti konsert, acara hiburan dan menonton acara sukan di stadium.
Khairy berkata, Kementerian Kesihatan perlu mempertimbangkan beberapa faktor lain sebelum sektor ini dibuka kembali.
"Sebelum saya umumkan bahawa kita selesa untuk sektor-sektor tersebut dibuka semula, ada banyak faktor lain, misalnya, sistem pengudaraan yang harus kita pertimbangkan," jelasnya.
Menurutnya, sistem pengudaraan adalah isu penting yang perlu ditangani sepanjang pandemik ini dan ia akan dijadikan sebahagian daripada SOP baru.
Ketika KKM mensasarkan untuk beralih ke fasa endemik apabila Program Imunisasi Kebangsaan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di negara ini, Khairy ditanya apakah yang akan dilakukan sekiranya ia tidak mencapai sasaran.
"Kita akan berusaha sehingga mencapai 80 peratus. Itu adalah sasaran saya, dan kita mesti mencapainya.
"Seperti yang saya katakan, kita akan terus menggalakkan orang ramai, terus beri insentif kepada mereka. Jika tidak kita akan jadikannya wajib.
"Saya tidak mahu sampai ke peringkat itu," tambahnya.

