Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Disember ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelantikan Sultan Mizan (foto) bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya yang ke-208 di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat itu juga bersetuju mengisytiharkan pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga untuk tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

Menurut laporan Bernama, Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu, yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, telah dihadiri oleh semua sultan kecuali Sultan Pahang dan Sultan Johor.

Sultan Mizan yang diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Baginda pertama kali dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1999 ketika Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Yang di-Pertua Agong ke-11.

Kali kedua baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 12 Disember 2001 berikutan kemangkatan Sultan Salahuddin pada 21 November tahun itu.

Sultan Kedah

Bagi Sultan Kedah pula, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari 12 Januari 1970 hingga 20 September 1975.

Sejak Merdeka, semua Raja Melayu dari sembilan negeri di Semenanjung telah berpeluang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama dari 3 Ogos 1957 hingga 1 April 1960.

Ini disusuli oleh Sultan Selangor Almarhum Tuanku Hishamuddin Alam Shah Alhaj yang mangkat beberapa jam sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1960.

Yang di-Pertuan Agong ketiga ialah Raja Perlis Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, yang juga ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang.

Ia disusuli oleh Sultan Terengganu Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah (nenda kepada Sultan Mizan), Sultan Kedah, Sultan Kelantan Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim (ayahanda kepada sultan sekarang), dan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Selepas itu jawatan Yang di-Pertuan Agong disandang pula oleh Sultan Johor Tuanku Mahmood Iskandar Al-Haj, diikuti Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shah, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan Sultan Selangor Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (ayahanda kepada Sultan Selangor sekarang)

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 13 Dis 2001 akan tamat tempohnya pada 12 Disember ini.

Ijazah sarjana

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-13 berkuatkuasa 13 Dis ini, diputerakan pada 22 Jan 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 dan Sekolah Menengah Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu, sebelum melanjutkan pelajaran ke Geelong Grammar School di Melbourne, Australia.

Sultan Mizan kemudiannya lulus ijazah sarjana dalam bidang hubungan antarabangsa dari US International University-Europe di London pada tahun 1988.

Baginda pernah bertugas sebagai kakitangan awam di beberapa pejabat kerajaan negeri di Terengganu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah sebagai Pegawai Pentadbir Negeri di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, dan pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu.

Sultan Mizan, 44, yang dilantik sebagai Raja Muda Terengganu pada usia 19 tahun pada 1981, telah dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada usia 36 tahun pada 15 Mei 1998 berikutan kemangkatan ayahandanya Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pada 14 Mei 1998, dengan menggunakan gelaran Al-Wathiqu Billah.

Baginda merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak 26 April 1999, dan dilantik semula ke jawatan itu pada 12 Dis 2001 untuk tempoh lima tahun.

Pada 8 Okt 2001 baginda telah memangku tugas Yang di-Pertuan Agong ketika Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, yang pada masa itu Yang di-Pertuan Agong yang ke-11, sedang gering.

Bidang ketenteraan

Pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan pada mesyuarat Majlis Raja-raja ke-208 (Khas) di Istana Negara di sini hari Jumaat.

Sultan Mizan juga pernah menjadi Presiden Majlis Islam dan Kebudayaan Melayu Terengganu dari 1 Jun 1991 hingga Disember 1995.

Baginda juga terlibat dalam bidang ketenteraan dengan berpangkat Kolonel Yang Dipertua Kor Armor Diraja, dan pernah menyertai latihan di Royal Military Academy, Sandhurst, England, pada tahun 1983.

Sultan Mizan turut aktif dalam bidang sukan terutama sukan kuda lasak dengan terlibat dalam pertandingan di dalam dan luar negara.

Malah atas daya usaha baginda, kejohanan sukan kuda lasak dunia akan diadakan di negara ini buat pertama kalinya pada Ogos tahun depan. Baginda merupakan presiden bagi penganjuran kejohanan itu yang akan diadakan di Pusat Antarabangsa Kuda Lasak di Lembah Bidong, Marang, Terengganu.

Selain sukan berkuda, Sultan Mizan juga aktif dalam pelbagai aktiviti sukan lain termasuk polo, bola sepak, golf dan tenis.

Baginda telah mendirikan rumahtangga dengan Permaisuri Raja Nur Zahirah pada tahun 1996 dan dikurniakan dua orang putera dan dua puteri.