Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akar umbi PKR N Sembilan hilang kepercayaan terhadap MB
Diterbitkan:  Sep 6, 2021 9:17 AM
Dikemaskini: 1:49 AM

Kepimpinan akar umbi PKR Negeri Sembilan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), yang juga menteri besar, Aminuddin Harun.

Mereka terdiri daripada Adun Chuah, Yek Diew Ching dan pemimpin dari enam daripada lapan cabang PKR di Negeri Sembilan - Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban.

Dua cabang PKR Negeri Sembilan yang lain adalah Tampin yang diketuai oleh Aminuddin dan Jempol.

Sinar Harian melaporkan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusof Tapar membaca kenyataan bersama dan memorandum kumpulan itu dalam satu majlis semalam.

Hadir sama, Ketua Cabang PKR Rasah, Datuk Ismail Ahmad; Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Datuk Dr S Streram; Ketua Wanita PKR Negeri, Amni dan Ketua Cabang PKR Jelebu, Yuz Mazmi Ahmad Yusuf.

Yusuf berkata, rombakan segera perlu dilakukan dalam PKR Negeri Sembilan bagi memastikan parti itu kekal relevan.

"Selaku Pengerusi MPN, beliau gagal dalam memimpin dan memperkasakan cabang serta ahli parti sehingga menyebabkan hilangnya keyakinan ahli serta penggerak parti di akar umbi.

"Pengerusi MPN gagal mengurus dan menyelesaikan masalah cabang dengan memberikan solusi terbaik, sehingga beberapa keputusan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Beliau juga tidak membuat perancangan bersifat holisitik terhadap perkembangan parti, tiada tindakan atau program pengukuhan dan pemantapan pengurusan parti di peringkat MPN serta cabang, selain tiada sebarang program dalam menyantuni ahli-ahli parti di peringkat cabang dan ranting," katanya.

Dalam kenyataan bersama itu juga, mereka mendakwa Aminuddin tidak menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan parti itu dominan dalam kerajaan negeri.

"Maka kami percaya sekiranya keadaan ini berterusan PKR Negeri Sembilan akan berisiko besar dalam menghadapi pilihan raya akan datang," jelasnya.

Bagaimanapun penerangan PKR Negeri Sembilan berkata mereka tetap menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR.

Tambahnya, memorandum menolak kepimpinan Pengerusi MPN Negeri Sembilan ini telah ditandatangani oleh Ketua-Ketua Cabang  dan sayap parti serta AJK tertinggi MPN untuk diserahkan kepada presiden parti dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS