Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan mempertimbangkan semula konsep zoo yang disifatkannya sudah kuno, tidak lagi diperlukan pada era moden serta menelan kos besar.

“Apa tujuannya melindungi hidupan liar di dalam zoo ketika habitat semula jadinya dijarah dan dieksploitasi?

“Justeru, kami ingin tegaskan pendirian kami bahawa inilah masanya untuk memberhentikan operasi zoo,” kata Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.

Katanya, konsep yang bermula sejak 2,500 tahun sebelum masihi ini asalnya hanya untuk membolehkan orang kaya bermegah-megah dengan koleksi binatang mereka.

“Binatang harus berkeluarkan bebas di habitat semula jadi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika oeprasi zoo dikatakan sedang mengalami masalah susulan penutupan akibat pandemik Covid-19.

Operasi zoo antaranya bergantung kepada bayaran masuk, sewaan dan dukungan penaja serta penderma.

Mohideen berkata, operasi tahunan untuk membela dua ekor panda daripada China sahaja menelan belanja RM2.25 pada 2015 - bersamaan kos memelihara 5,000 binatang lain.

Dilaporkan Zoo Negara di ibu negara memerlukan kos RM1 juta sebulan, termasuk bayaran gaji pekerja, makanan dan bayaran air, elektrik serta pembentungan.