mk-logo
Berita
Azeez Rahim belum bebas kes rasuah, itu hanya hujah peguam - SPRM
Diterbitkan:  Sep 7, 2021 3:31 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim belum dibebaskan daripada pertuduhan rasuah, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Peguam bela Amer Hamzah Arshad semalam memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa laporan analisis kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan Azeez daripada dakwaan rasuah.

Amer berhujah, di sebalik laporan ini, anak guamnya masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan projek jalan di Kedah dan Perak.

Azeez dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonannya untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudian didengar di Mahkamah Rayuan semalam.

Sementara itu, SPRM melalui kenyataannya hari ini menegur laporan media semalam yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan.

"SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan," tambahnya.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Oktober depan untuk mendengar balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Azeez.

Lihat Komen
ADS