Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Itulah reaksi Kelab Penyokong Kerajaan(BBC) Selangor ketika menolak syor agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan wakil rakyat tidak lagi dilantik sebagai ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Di Selangor, majoriti Adun, selain Menteri Besar dan exco kerajaan negeri, turut memegang jawatan ahli PBT, kecuali Adun dari kalangan parti MIC dan Gerakan.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bahari Abdul Rahman berkata amalan sekarang perlu diteruskan kerana ia boleh membawa manfaat serta memberi kelebihan untuk meningkatkan perkhidmatan terhadap rakyat.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, walaupun terdapat kes Adun yang menjadi ahli majlis PBT melakukan penyalahgunaan kuasa, namun ia adalah kes terpencil.

"Jadi janganlah kerana segelintir anggota yang salah, kesemuanya dihapuskan seperti marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

"Biarlah kita mempunyai fikiran yang rasional dalam menangani masalah yang dilakukan oleh segelintir manusia yang tidak amanah atau tidak jujur," katanya dalam sidang media semalam, selepas mempengerusikan mesyuarat BBC Selangor.

Ahmad Bahari Adun Taman Templer, adalah anggota Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Hantar syor pada MB

Beliau berkata, Adun yang memegang jawatan ahli PBT mempunyai beberapa kelebihan kerana mereka dekat dengan rakyat.

"Ahli politik ini bercampur dengan segala lapisan masyarakat dan dapat merasai kehendak rakyat dari segi baik moral, perniagaan, sosial dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata sebagai ahli politik yang memperjuangkan kesejahteraan rakyat, mereka mampu memberi pandangan yang tepat agar segala perancangan dalam majlis perbandaran atau kerajaan tempatan menepati kehendak dan memberi keselesaan kepada rakyat.

Ahmad Bahari berkata Adun yang memegang jawatan ahli PBT menjadi semakin relevan terutama dengan peranan wakil rakyat sebagai pemantau kepada keberkesanan projek pembangunan di kawasan masing-masing seperti dikehendaki dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Beliau berkata kejayaan kerajaan Selangor mencapai status Negeri Maju 2005 adalah kerana mengamalkan modul di mana Adun juga memegang jawatan sebagai anggota PBT.

Ahmad Bahari berkata usul BBC itu akan diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.