Hampir 300 orang, majoritinya pelajar, telah mengadakan bantahan di beberapa pejabat akhbar Sin Chew Daily di seluruh negara malam tadi. Mereka berkumpul di ibupejabat akhbar tersebut di Petaling Jaya serta pejabat cawangannya di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuantan.

Di Petaling Jaya dan Pulau Pinang, mereka berjaya menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan akhbar berkenaan berhubung rasa tidak puashati terhadap pembelian saham majoriti Nanyang Daily dan China Press kepada jutawan balak, Tan Sri Tiong Hiew King.

Mereka turut melaungkan slogan membantah monopoli Tiong yang kini memiliki empat akhbar utama berbahasa Cina, termasuk Sin Chew dan Guang Ming Daily . Empat akhbar berkenaan menguasai 90 peratus pasaran akhbar bahasa Cina di negara ini.

Dalam memorandum tersebut, mereka mendesak Tiong melupuskan monopoli tersebut dengan menjual saham majoritinya dalam beberapa akhbar yang dikuasainya itu. Mereka juga menggesa kerajaan supaya memansuhkan Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984.

Hampir seratus orang, majoritinya pelajar, berhimpun di luar bangunan ibupejabat Sin Chew mulai jam 6.45 petang walaupun pintu masuk ke bangunan itu disekat dengan meletakkan dua buah treler.

[Lihat klip video ]

Keadaan yang sama dilaporkan di Pulau Pinang di mana pintu masuk ke pejabat Sin Chew juga disekat. Sebaliknya kira-kira 50 orang, majoritinya pelajar, mengadakan bantahan berhampiran pejabat Guang Ming Daily .

Manakala di Johor Bahru, kira-kira 50 pelajar mengadakan bantahan di pejabat cawangan Sin Chew . Bagaimanapun, lampu di pejabat itu dipadamkan manakala semua pintu ditutup. Oleh itu, pelajar berkenan tidak dapat menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusannya.

Di pejabat Sin Chew di Kuantan pula, hanya dua orang pelajar yang hadir mengadakan bantahan tersebut. Mereka juga tidak dapat menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan.

Jumpa pembaca

Di Petaling Jaya, kira-kira 150 orang yang hadir, termasuk bekas wartawan kadet Sin Chew , melaungkan slogan membantah monopoli Tiong itu.

"Hari ini, pembaca datang ke sini! Tetapi mengapa bos-bos di dalam pagar, enggan keluar untuk bertemu dengan pembaca! Apa yang mereka takutkan," kata seorang daripada mereka.

"Kami berada di sini untuk mempertahankan kebebasan akhbar. Kebebasan akhbar di Malaysia kini terancam. Kami menentang monopoli baru ini (oleh Tiong)," kata seorang lagi yang menyertai bantahan tersebut.

Bantahan itu berjalan selama satu jam di mana mereka mendengar ucapan, menyanyi dan laungan slogan oleh pelajar yang memakai baju-T putih dengan tulisan 'anti-monopoli' dalam bahasa Inggeris dan Mandarin. Mereka sama ada membawa poster atau lilin.

"Kami mahu (bantahan) ini disiarkan sebagai berita utama Sin Chew esok! Jangan lupa dapatkan akhbar Sin Chew esok," kata seorang pelajar.

Manakala kakitangan Sin Chew pula menyaksikan perhimpunan tersebut dari dalam kawasan pagar. Turut kelihatan ialah Pengarah Urusan Kumpulan, Liew Chen Chuan.

Kira-kira 10 anggota polis dan sekurang-kurangnya empat anggota cawangan khas (SB) hadir mengawasi bantahan tersebut. Pada satu ketika, seorang pegawai SB menggunakan pembesar suara kereta peronda polis, menasihatkan mereka supaya bersurai atau berdepan dengan tindakan pihak polis.

"Tuan tuan dan puan puan, masa dah cukup. Tindakan akan diambil. Adik-adik yang duduk itu. sila bangun dan bersurai," arah pegawai berkenaan.

Ia diikuti dengan rundingan antara pihak penyelaras bantahan tersebut dengan pegawai polis berkenaan. Atas permintaan pihak polis, pengawal keselamatan Sin Chew membenarkan wakil kumpulan tersebut menyerahkan memorandum di pintu masuk yang sesak dengan kakitangan akhbar berkenaan, pengawal keselamatan, pelajar dan pihak media.

Nyalakan lilin

Pada masa yang sama, dalam kenyataan balasnya, pihak pengurusan Sin Chew menegaskan: "Kami ingin menegaskan bahawa pengambilalihan Nanyang Press Holding Berhad tidak membabitkan Sin Chew Media Corporation". Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengurus Sin Chew, Low Kon Sin.

Menurutnya lagi, akhbar tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menerima memorandum itu bagi pihak Tiong, yang dikatakan sedang berada di luar negeri.

"... Saya hanya menerima memorandum ini untuk tujuan menyampaikan yang sama (memorandum berhubung pengambilalihan dua akhbar tersebut) kepada Tan Sri Tiong," kata kenyataan tersebut.

Kumpulan yang mengadakan bantahan itu kemudian beredar selepas memasang lilin di tempat batu nesan yang diperbuat daripada kadbod yang bertulis "Kebebasan Akhbar" dalam bahasa Mandarin.

Ketika ditemui pemberita untuk mendapatkan ulasanya, Liew berkata: "Ini tempat saya. Tiada komen." Berita asal