Msia lancar projek pembangunan terbesar di rantau ini
Projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) dirasmikan oleh Sultan Johor hari ini yang meliputi kawasan seluas 2,200 km persegi dan merupakan projek pembangunan terbesar pernah diusahakan di rantau ini.
Projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) dirasmikan oleh Sultan Johor hari ini yang meliputi kawasan seluas 2,200 km persegi dan merupakan projek pembangunan terbesar pernah diusahakan di rantau ini.
Projek SJER yang diusahakan oleh Khazanah Nasional, diyakini mampu memberi lonjakan pembangunan untuk menjadikan wilayah ini satu lagi metropolis negara bertaraf dunia selepas Kuala Lumpur.
Manakala pelan induk pembangunan SJER ini merupakan permulaan model pembangunan era globalisasi bagi Malaysia
SJER dijangka mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 20 tahun dan pendapatan per kapita rakyat Johor akan ditingkatkan lebih sekali ganda.
Dalam ucapannya di majlis tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan lima agenda utama pembangunan SJER dengan tumpuan kepada peningkatan ekonomi secara seimbang dan menyeluruh.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, tumpuan pertama diberi kepada peningkatan nilai ekonomi Johor Selatan dengan memanfaatkan kelebihan semulajadi kawasan ini.
Kelebihan itu termasuk prasarana pelabuhan dan lapangan terbang, yang akan dimanfaatkan dengan membangunkan hub logistik kargo dan pengangkutan, katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek SJER di Teluk Danga di Johor Bahru.
Sektor baru
Abdullah berkata kelebihan modal di kawasan ini akan turut dimanfaatkan dengan menggalakkan pertumbuhan sektor baru di kawasan yang dibangunkan.
Agenda kedua, katanya, ialah pembangunan modal insan menerusi pendidikan iaitu sebuah pusat pendidikan berupa institusi pengajian dan pusat penyelidikan bertaraf antarabangsa akan dibangunkan di wilayah ini.
Agenda ketiga pula ialah memastikan pembangunan wilayah ini dilaksanakan secara seimbang bagi menjamin kawasan luar bandar juga menerima manfaat limpahan ekonomi.
Abdullah berkata penekanan yang diberikan dalam agenda keempat pula ialah terhadap aspek kualiti hidup di wilayah ini.
Usaha ini akan dijayakan melalui peningkatan kualiti dalam komponen prasarana kehidupan seperti sistem pengangkutan yang dinaik taraf manakala kawasan perumahan pula akan didirikan lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan rakyat.
Antara projek kemudahan untuk keselesaan penduduk, ialah pembangunan kawasan riadah utama di sepanjang pesisiran Selat Tebrau.
Akhir sekali tumpuan dalam agenda kelima ialah memastikan pelaksanaan projek SJER dapat berjalan dengan baik.
Pilihan pelabur
Bagi maksud ini, kata Abdullah, sebuah badan berkanun iaitu Pihak Berkuasa Johor Selatan (SJA) ditubuhkan untuk memantau perjalanan projek itu.
Perdana Menteri yakin pembangunan projek SJER mampu membawa perubahan di wilayah Johor Selatan, sebagaimana yang diharapkan iaitu sebagai sebuah lagi metropolis bertaraf dunia.
"Johor berpotensi untuk menjadi destinasi pilihan antarabangsa bagi pelabur, peniaga, cendekiawan dan ramai lagi.
"Pada ketika itu nanti kita akan berbangga untuk melihat Johor Selatan berperanan sebagai hub ketamadunan Asia," katanya.
Abdullah turut mengingatkan rakyat Johor agar tidak bimbang dengan peningkatan nilai hartanah di Johor melalui projek itu hinggakan tidak mampu memiliki hartanah di situ suatu masa nanti.
Kerajaan, katanya, akan memastikan bahawa penduduk Johor tidak akan tercicir daripada mendapat pelbagai faedah.
"Janganlah itu yang kita bimbangkan sehingga menghindarkan kita daripada usaha pembangunan. Hakikatnya ialah kerajaan dalam menentukan dasar dan program pembangunan, mengangkat hak dan kebajikan rakyat Malaysia sebagai satu keutamaan," kata Perdana Menteri.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.