MB: Markas PAS di Taman Melewar tidak hantar pelan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau mengetahui terdapat kuil, tokong yang tidak berlesen dan markas parti politik yang tidak menghantar pelan pengubahsuaian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau mengetahui terdapat kuil, tokong yang tidak berlesen dan markas parti politik yang tidak menghantar pelan pengubahsuaian.
Beliau menyebut Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar, di Gombak sebagai contoh.
Katanya, jika ada laporan dan syor agar rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md Deros dirobohkan, maka semua bangunan yang tidak mendapat kelulusan pelan bangunan mesti dirobohkan agar dilihat sebagai adil.
Pembinaan kediaman ala-istana oleh Zakaria itu mencetuskan kontroversi mengakibatkan beliau melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK).
"Undang-undang boleh, tetapi sanggupkah rakyat Selangor menerimanya kalau saya ambil tindakan (roboh) di tempat lain. Nanti orang akan tanya saya, rumah saya dibuat begini, kenapa rumah orang lain tidak dibuat. Dan ia jadi cerita tidak berkesudahan," katanya, ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri MPK.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, tindakan merobohkan bangunan yang tidak mempunyai kelulusan pelan bangunan akan hanya menimbulkan kemarahan rakyat.
Ikut kes
Beliau berkata atas dasar itulah Kerajaan Selangor menilai isu berkenaan mengikut kes.
"Selagi tidak menyusahkan rakyat, tidak menghalang kepada keselamatan, sebagai kerajaan yang mesra, kita tidak mengambil tindakan yang drastik (kerana) nanti kita akan dikata macam-macam," katanya.
Dr Mohamad Khir berkata beliau juga mengetahui terdapat 5,000 kilang tanpa pelan bangunan dan jika tindakan diambil dalam keadaan ekonomi sekarang, ia akan menyebabkan lebih banyak kerosakan.
Katanya, sebagai seorang pemimpin beliau terpaksa mengambilkira pelbagai aspek termasuk kepentingan kaum, agama dan ekonomi sebelum mengambil tindakan.
Beliau berkata kerajaan kena sensitif kerana Malaysia dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Kita bukan tidak mahu ambil tindakan, saya tidak mahu digelar kita tidak ada pertimbangan, jadi kita harap (rakyat) faham keadaan ini," katanya.
Periksa semua bangunan
Menteri Besar juga mengakui isu yang melibatkan Zakaria merupakan satu 'wake up call' kepada Kerajaan Selangor.
Sementara itu, beliau berkata, supaya tidak dituduh mengamalkan pilih kasih, semua bangunan di Selangor, termasuk rumah ibadat, markas parti politik, premis industri dan rumah persendirian akan diperiksa bagi mengesan pemilik yang gagal mendapat kelulusan pelan bangunan.
Katanya, ramai yang masih gagal menghantar pelan bangunan termasuk untuk pengubahsuaian dan mereka diminta mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Pemeriksaan itu, katanya, perlu dilakukan kerana tidak mahu dituduh mengamalkan sikap pilih kasih atau 'double standard'.
"Selepas ini, kita akan periksa semua bangunan supaya tidak ada fear and favour (tidak takut dan tidak berpihak kepada sesiapa). Public (orang awam) yang mahu kita melakukannya," katanya

