PKR tidak akan terima Dr Mahathir
Parti Keadilan Rakyat mendakwa beberapa media perdana cuba memutarbelitkan kenyataan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memberi gambaran seolah-olah parti itu sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Parti Keadilan Rakyat mendakwa beberapa media perdana cuba memutarbelitkan kenyataan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memberi gambaran seolah-olah parti itu sedia bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sehubungan itu, Naib Presidennya, Azmin Ali mengulangi pendirian parti itu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan bekas Perdana Menteri itu, yang didakwanya cuba dimainkan oleh media perdana kelmarin.
"Ternyata berita yang dilaporkan dipetik daripada kenyataan ringkas Datuk Seri Anwar Ibrahim, diputarbelit dengan tujuan mencemar imej parti Keadilan dan kredibiliti Anwar di mata rakyat jelata," kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali dalam satu kenyataan.
Katanya, parti itu juga tidak berkompromi sedikitpun dalam soal dasar perjuangan dengan kerajaan Barisan Nasional ( BN ) di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Sikap media di bawah Abdullah tidak ubah sepertimana cara Dr Mahathir menunggangi media dahulu. Hanya dengan cara menolak agar Dr Mahathir dilihat telah bersama parti-parti pembangkang, maka Abdullah tidak perlu menjawab kritikan Dr Mahathir dengan serius," kata Azmin.
Dengan cara ini, katanya, Abdullah hanya perlu berkata kononnya Dr Mahathir 'diterima' atau kini membawa agenda parti-parti pembangkang.
'Tegak benang basah'
"Memang sejak beberapa minggu lalu, berita dan khabar angin seumpama sudah mulai disebar-luaskan di peringkat bawah oleh ejen-ejen Umno-BN untuk menegakkan benang basah mereka," tegasnya.
Bahkan, kata Azmin, kenyataan Anwar dalam majlis rumah terbuka PKR Terengganu kelmarin tidak dilaporkan dengan jelas di mana Anwar menyatakan Dr Mahathir jugalah orang yang bertanggungjawab meruntuhkan sistem masyarakat madani di samping menjadikan Malaysia "negara polis ", yang diteruskan oleh pemerintahan Abdullah hingga ke hari ini.
"Sebagai sebuah parti yang berpegang teguh ke atas prinsip dan lunas-lunas demokrasi, Keadilan menghormati hak sesiapa sahaja warganegara Malaysia untuk mengkritik dan mengeluarkan pandangan, termasuklah Dr Mahathir.
"Namun, ia sama sekali tidak bermakna Keadilan menerima sesiapa sahaja yang jelas sebagai pelaku kezaliman dan penindas untuk bersama dalam perjuangan membawa perubahan dan menegakkan keadilan," tambahnya.
Katanya, beliau secara peribadi juga percaya bahawa rakan-rakan parti-parti pembangkang yang lain, juga tidak akan dapat menerima kehadiran Dr Mahathir ke dalam mana-mana wadah politik pembangkang, yang cuba "diatur" berkali-kali oleh pemerintah melalui saluran propaganda mereka.
"Keadilan cukup berpengalaman berhadapan dengan taktik dan strategi kotor pemerintah sebegini.
"Namun, ia tidak akan mengalih tumpuan Keadilan yang tidak lain tidak bukan adalah untuk meneruskan agenda perubahan seperti yang menjadi cita-cita oleh ramai rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dan kemakmuran di bumi yang tercinta ini," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.