Sultan Johor mahu Tambak Johor dirobohkan
Sultan Johor Sultan Mahmud Iskandar Sabtu meminta Tambak Johor dibuka, atau dalam bahasa Johor dirobohkan, bagi memberi laluan kepada kapal-kapal menyeberangi Selat Tebrau, yang memisahkan Johor dan Singapura.
Sultan Johor Sultan Mahmud Iskandar Sabtu meminta Tambak Johor dibuka, atau dalam bahasa Johor dirobohkan, bagi memberi laluan kepada kapal-kapal menyeberangi Selat Tebrau, yang memisahkan Johor dan Singapura.
Baginda bertitah kewujudan tambak yang dibina penjajah Inggeris itu, kini menghalang kapal-kapal daripada melalui Selat Tebrau, yang menyebabkan Johor sering menerima kutukan.
"Tu causeway tu (Tambak Johor) bukakan, baru negeri Johor ini maju," titah baginda semasa merasmikan projek Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) di Teluk Danga di Johor Bahru.
Tambak Johor sepanjang 3,465 kaki (1,050 meter) dari Johor Bahru ke Singapura, dibina pada tahun 1920 dengan keseluruhan strukturnya berukuran 60 kaki lebar (18.18 meter).
Ia menampung dua landasan keretapi serta jalanraya selebar 26 kaki (7.87 meter). Ia juga membawa pair air dari Johor ke Singapura dan sebaliknya serta kabel komunikasi.
Menurut laporan Bernama, Sultan Johor yakin pembangunan SJER akan berjaya dengan kerjasama dan muafakat semua pihak.
Ambil iktibar
Baginda berharap SJER akan membuka peluang kepada semua rakyat Johor dan faedahnya dinikmati semua peringkat masyarakat di negeri ini.
Sultan Mahmud Iskandar turut mengingatkan rakyat Johor agar mengambil iktibar daripada pengalaman nenek moyang zaman dahulu yang mudah ditipu oleh penjajah Inggeris.
"Kita ni jangan tak sedar, jangan kena tipu lagi," titahnya.
Baginda turut berterima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana memberi peruntukan besar untuk membangunkan ekonomi Johor.
Baginda kemudian meletakkan ikonik kapsul masa di tapak perasmian, yang akan disimpan sehingga 2025.
Sempena perasmian itu, projek SJER berharga berbilion ringgit yang diusahakan Khazanah Nasional, diberi nama baru, Wilayah Pembangunan Iskandar.
Hubungan dengan S'pura
Projek itu melibatkan pelaburan berjumlah RM47 bilion untuk tempoh lima tahun (2006-2010) dan pelaburan berjumlah RM335 bilion bagi tempoh 15 tahun lagi (2011 hingga 2025).
Tambak Johor itu menjadi isu utama dalam hubungan Malaysia dan Singapura, apabila Malaysia mahu laluan itu digantikan dengan jambatan baru, sehinggalah cadangan itu dibatalkan April tahun lalu.
Pihak berkuasa Malaysia berkata ketinggian Tambak Johor telah menghadkan laluan kapal ke pelabuhan di Malaysia dan mencadangkan supaya sebuah jambatan baru dibina untuk memudahkan pergerakan kapal.
"Biar kapal melaluinya," kata Sultan Iskandar yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang suka berterus terang dalam titah baginda.
Bulan lalu, baginda menjadi tumpuan perhatian awam apabila menasihatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti mengkritik kerajaan dan 'hidup seperti seorang pesara".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.