SMS palsu hampir cetus insiden perkauman di Ipoh
Khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali hampir mencetuskan satu insiden perkauman di Ipoh, Perak pagi ini.
Khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama yang dihantar oleh individu yang tidak dikenali hampir mencetuskan satu insiden perkauman di Ipoh, Perak pagi ini.
SMS itu mendakwa, sekumpulan umat Islam akan bertukar agama untuk menganut agama Kristian di sebuah gereja pagi ini.
Berikutan itu, sekumpulan umat Islam termasuk wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di perkarangan gereja tersebut untuk mendapat kepastiannya.
Mengikut undang-undang, umat Islam dilarang menukar agama kepada agama lain.
Bagaimanapun, apa yang sebenarnya berlaku ialah ia merupakan majlis pembaptisan kira-kira 110 kanak-kanak keturunan India.
Bagaimanapun, mereka yang berkumpul di situ enggan beredar kerana mahu menunggu sehingga majlis di gereja itu selesai.
Polis menghantar sepasukan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk mengawasi keadaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Aziz Bulat berkata, anggota FRU ditempatkan di gereja itu sejak jam 7 pagi sehingga kira-kira jam 1 tengahari apabila orang ramai bersurai tanpa berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Jabatan agama siasat
Abdul Aziz berkata beliau akan terus memantau keadaan dan menjalankan siasatan lanjut mengenai penyebaran SMS tersebut.
"Kita tidak tahu punca SMS itu. Mungkin ada pihak yang ingin mengganggu keharmonian di negara ini," katanya dalam laporan Bernama, ketika ditemui pemberita di kawasan gereja berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury berkata pihaknya akan menyiasat kes itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang disabitkan kesalahan menyebar SMS itu.
AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.