Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas AG: Perlembagaan hanya jadi mainan di bibir ahli politik

Meskipun sering digunakan dalam hujah ahli politik, bekas peguam negara Tommy Thomas menyifatkan Perlembagaan Persekutuan tidak lebih sekadar mainan di bibir golongan berkenaan.

Sebaliknya, dia berpandangan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia tidak pernah benar-benar menjadi rujukan dalam proses membuat keputusan di negara ini.

“Sejak 1957, ia diabaikan dan dipinggirkan. Apabila ia ditegakkan (oleh) ahli politik, ia hanya bermain di bibir mereka.

“Bagi saya, tidak kira seberapa hebat pun dokumen itu (perlembagaan) ketika ia digubal (dahulu)...ia sebenarnya tidak menjadi faktor relevan dalam proses membuat keputusan.

“Jika anda tanya, sama ada kepada ahli politik, penjawat awam atau sesiapa sahaja (yang berkenaan), adakah mereka pertimbangkan Perlembagaan dalam proses membuat keputusan, jawapannya pasti tidak. Ini menyedihkan.

“Jadi, untuk perbincangan kali ini, tiada gunanya bercakap tentang Perlembagaan. Ia mainan di bibir, rujukan simbolik, hiasan - bukan bahagian substantif daripada perlembagaan itu sendiri (yang diambil),” katanya.

Thomas berkata demikian dalam webinar bertajuk “Kebangkitan Semula Umno: Apa Seterusnya untuk Malaysia?” anjuran Malaysiana LCMS Sdn Bhd sempena pelancaran buku “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope” oleh bekas duta, Dennis Ignatius hari ini.

Dia menjawab soalan moderator Jonson Chong tentang apakah Perlembagaan Persekutuan yang sebenarnya menjadi batu penghalang untuk reformasi di negara ini dalam isu melibatkan kaum dan agama.

Selain Thomas dan Dennis, webinar itu turut disertai bekas anggota NGO G25 Tawfik Ismail serta ahli akademik Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dan Prof James Chin sebagai panelis.

'Umno tahan lama, tahan lasak'

Terdahulu, Thomas sempat mengulas tajuk webinar mengenai “kebangkitan Umno” yang menurutnya kurang tepat.

Baginya, Umno tidak memerlukan “kebangkitan semula” kerana parti itu sebenarnya hanya berdepan “kekangan sementara” ketika kalah pada PRU14 pada Mei 2018.

“Umno cuma mengalami kekangan (setback) sementara pada PRU14, ia sudah kembali.

“Umno berjaya, tahan lama, dan tahan lasak. Mana-mana ahli politik atau parti politik yang merendah-rendahkan Umno, mungkin harus menanggung akibatnya (di atas tanggapan itu)," katanya lagi.

Katanya, Umno sejak sekian lama menjuarai pergelutan komunal sehingga setiap perkara - sama ada politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan dan pekerjaan di perkhidmatan awam - dilihat menerusi lensa perkauman.

Katanya lagi, Umno mendominasi sehingga ramai orang melihat kepentingan parti itu setara dengan kepentingan negara, dan hal itu dapat dilihat apabila ia menggunakan isu kaum dan agama dengan berkesan untuk menyerang pentadbiran PH.

Bagaimanapun, katanya lagi, terdapat dua kekangan untuk Umno terus mara dalam arena politik semasa.

Pertama, kemunculan pparti seperti Bersatu, Pejuang, dan Muda yang merampas sebahagian sokongan orang Melayu daripadanya.

Kedua - yang menurut Thomas lebih penting - adalah kegagalan Umno memainkan peranan dalam menangani wabak Covid-19 meskipun berada dalam kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan juga kini naib presiden parti itu sendiri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ini kerana isu kaum dan agama tidak boleh digunakan di saat rakyat berdepan kesempitan ekonomi serta kesihatan mental yang terjejas akibat kesan penularan wabak itu.

“Gambaran lebih baik dan terkini adalah (prestasi) sangat tidak cekap dalam pentadbiran sejak pertengahan tahun lalu oleh dua kerajaan yang mana Umno memainkan peranan penting di dalamnya.

“Justeru, saya simpulkan bahawa jika pengundi Melayu tolak Umno dalam PRU15kerana prestasinya yang menyedihkan ketika dalam kerajaan, Umno akan benar-benar kalah. Tak ada harapan lagi,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS