Apakah Dr M akan hadiri perhimpunan agung Umno?
Tinggal kira-kira seminggu lalu sebelum perhimpunan agung Umno bermula, tetapi sehingga ini tiada petanda sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadirinya.
Tinggal kira-kira seminggu lalu sebelum perhimpunan agung Umno bermula, tetapi sehingga ini tiada petanda sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadirinya.
"Beliau dijemput sebagai bekas Presiden Umno, tetapi beliau belum lagi memberi jawapan sama ada akan menghadirinya atau tidak," kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad dalam akhbar New Straits Times.
Seorang jurucakap pejabat Dr Mahathir berkata, belum ada keputusan dibuat sama ada beliau akan menghadiri perhimpunan agung Umno itu atau tidak.
Perhimpunan agung Umno akan berlangsung selama empat hari mulai 13 November depan di mana petikaian antara Dr Mahathir dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menjadi tumpuan utamanya.
September lalu, Dr Mahathir bertanding untuk jawatan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno kali ini, sehingga menimbulkan kebimbangan beliau mungkin menggunakan perhimpunan itu untuk mengkritik kerajaan.
Bagaimanapun, beliau tewas apabila hanya menduduki tempat kesembilan dengan memperolehi 227 undi. Setiap bahagian Umno menghantar 13 perwakilan, iaitu tujuh dipilih dalam mesyuarat perwakilan dan enam lagi terdiri daripada pemimpin utama bahagian.
Bagaimanapun, selaku bekas Presiden Umno, Dr Mahathir dijemput untuk menghadiri perhimpunan agung tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak akan dibenarkan berucap kepada para perwakilan.
Serangan peribadi
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli-ahli parti itu supaya jangan membuat serangan peribadi dalam perhimpunan agung kali ini.
Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, tiada sekatan terhadap perkara yang hendak dibangkitkan dalam perhimpunan itu kecuali serangan peribadi terhadap kepimpinan parti atau individu tertentu.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, pengerusi tetap perhimpunan agung akan meminta mereka yang berbuat demikian supaya berhenti berucap.
Dr Mahathir membuat kritikan keras terhadap pentadbiaran Abdullah yang didakwanya tidak cekap dalam mengendalikan ekonomi negara serta mengamalkan nepotisma, sehingga menimbulkan kebimbangan berlakunya perpecahan di kalangan ahli Umno.
Manakala Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula berkata ramai yang menjangka perhimpunan agung Umno kali ini akan berjalan dalam suasana tegang.
Tetapi, katanya, Umno dan para perwakilannya sudah matang dan mereka mahu melihat Umno kekal kukuh.
Dalam satu wawancara dengan Bernama hari ini, Muhd Taib berkata, ahli-ahli Umno tidak mahu melihat parti itu menjadi kacau bilau, tetapi sebaliknya mereka akan memberi sokongan padu kepada Abdullah.
- AFP


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.