Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq kekal mengaku tak salah tuduhan subahat ubah wang haram RM100,000

Bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan pengakuan tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat mengubah wang haram berjumlah RM100,000.

Ahli parlimen Muar mengulangi pernyataannya itu ketika pengakuannya direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Suzana Hussin pagi ini.

Hari ini, ditetapkan untuk sebutan semula dua pertuduhan bersubahat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, berikutan pemindahan kes dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Pada 5 Ogos, bekas ketua Armada Bersatu itu dikenakan dua pertuduhan pengubahan wang haram. Dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan dengan tuduhan berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mengikut dua pertuduhan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dia dituduh terlibat dalam pemindahan dana itu dua kali pada 16 dan 19 Jun 2018.

Di bawah Seksyen 4(1) akta ini jika sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Pada setiap kejadian di Maybank Islamic Berhad, Taman Perling di Johor Bahru, Syed Saddiq dituduh telah memindahkan RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera.

Pihak pendakwaan meminta pemindahan kes itu supaya dua tuduhan Syed Saddiq bersubahat dapat didengar bersama-sama dengan dua tuduhan penyelewengan lain yang melibatkan dana sebanyak RM1.12 juta daripada Bersatu. 

Kedua-dua tuduhan penyelewengan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ketika ditemui media selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, peguam Syed Saddiq, Haijan Omar mengesahkan hasil prosiding di hadapan hakim Suzana.

Peguam menjelaskan Suzana juga menetapkan 30 November untuk sebutan semula kes.

Ini sementara menunggu pemfailan permohonan untuk memindahkan kedua-dua kes Syed  Saddiq dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan permohonan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada 25 Nov ini.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Azura Alwi turut menetapkan tarikh sama (30 Nov) untuk sebutan semula dua lagi kes dihadapi Syed Saddiq berhubung pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen PRU14.

Haijan juga berkata pihaknya telah memfailkan permohonan supaya dua kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan permohonan itu akan didengar di hadapan hakim sama (Mohamed Zaini) pada 25 Nov.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Armada Bersatu, yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS