mk-logo
Berita
Ummah ada keyakinan tinggi pada regu Idris-Ahmad Marzuk

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) meletakkan keyakinan tinggi mereka kepada dua pemimpin PAS yang ada dalam kerajaan untuk memperkasa agenda Islam di negara ini.

Pengerusi Ummah Mohd Zai Mustafa berpendapat gandingan Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mampu menjalankan amanah tersebut.

Untuk rekod Idris merupakan calon PAS bagi kerusi parlimen Bukit Gantang dalam PRU ke-14 lalu namun kalah kepada calon BN, Syed Abu Hussin Hafiz. Dia kemudian dilantik menjadi senator pada 16 Jun 2020 dan dibawa ke kabinet oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Ogos lalu untuk menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahmad Marzuk pula merupakan ahli parlimen PAS yang dijadikan timbalan menteri di JPM oleh Muhyiddin Yassin pada Mac 2020 dan dikekalkan oleh Ismail Sabri dalam pembentukan kerajaannya baru-baru ini.

Kata Mohd Zai pemerkasaan agenda Islam menjadi harapan seluruh umat Islam di negara ini sama ada dalam bidang undang-undang, kehakiman mahupun dalam pentadbiran kerajaan.

"Ummah berharap agar dasar negara yang mesra Islam dapat dilaksanakan dan direalisasikan segera sama ada dalam bidang pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosial dan pentadbiran.

"Kami juga berharap Islam dapat diterjemahkan dalam bentuk yang akan difahami sebaiknya oleh semua lapisan rakyat agar boleh menjadi menjadi contoh dan teladan kepada orang bukan Islam," katanya.

Mohd Zai berkata demikian kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas pelantikan Idris dan Ahmad bagi mengendalikan hal ehwal Islam di negara ini.

Sentimen agama dan bangsa merupakan antara isu yang menjadi cabaran besar dimainkan pembangkang sebelum Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada tahun lalu.

Ummah bersama PAS adalah antara kumpulan yang paling lantang mengkritik PH dalam beberapa isu termasuk Lembaga Tabung Haji, kegagalan menahan pihak yang didakwa membunuh anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dan pelaksanaan undang-undang Islam.

Mohd Zai berkata, Ummah juga berharap gandingan dua pimpinan PAS itu dapat memperkenalkan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna dan sesuai untuk semua manusia.

"Ia merupakan Islam yang damai lagi harmoni yang dapat membentuk perpaduan umat yang utuh dan akhirnya mengukuhkan perpaduan nasional dalam kalangan rakyat berbilang bangsa agar dapat bersatu padu sebagai keluarga Malaysia yang besar," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Ummah turut berharap kerajaan yang kini diterajui Ismail Sabri dapat menyelesaikan isu kematian Muhammad Adib.

Mohd Zai berkata, dia berharap bahawa isu kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Adib dirungkaikan agar ia mampu memberi kepuasan hati kepada keluarga arwah.

"(Jika ia berjaya dilaksanakan) Ini merupakan kejayaan kepada kerajaan berbanding PH yang cuba menutup kes ini," tegasnya.

Lihat Komen
ADS