Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KKM sokong nyah jenayah cubaan bunuh diri
Diterbitkan:  Sep 10, 2021 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Kementerian Kesihatan (KKM)  komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam mencegah tingkah laku bunuh diri di kalangan masyarakat. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga menyokong usaha nyah jenayah cubaan bunuh diri dan langkah meminda atau memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menyabitkan tingkah laku itu sebagai kesalahan jenayah.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, mereka yang didapati cuba membunuh diri boleh boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

"Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia. Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin," katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada tanggal 10 September setiap tahun.

Menurut Noor Hisham, sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polid Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagi keseluruhan tahun 2020, sebanyak 631 kes bunuh diri direkodkan berbanding 609 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut Noor Hisham, situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu .

Justeru dia menggesa masyarakat memainkan peranan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan beberapa cara.

Antaranya mengambil tahu dan bertanya khabar kepada orang sekeliling terutamanya individu yang terkesan akibat Covid-19; memberikan dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan serta mengelakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri ke media sosial.

"Faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyiarkan rakaman video bagi menyampaikan mesej sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.

Dalam mesej berkenaan, Khairy menasihati individu yang mengalami tekanan atau kemurungan supaya mendapatkan bantuan yang disediakan.

"Bersempena dengan Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, saya ingin berpesan kepada mereka yang mengalami kemurungan dan kegelisahan, bahawa anda tidak bersendirian.

"Bantuan tersedia, kami ada di sini untuk Anda," katanya yang turut memaparkan nombor Talian Kasih dan Befrienders.

Sekiranya anda merasa tertekan atau mengenali seseorang yang mahu membunuh diri, talian hotline berikut boleh dihubungi:

Talian Kasih

Talian Hotline: 15999

Befrienders

Talian Hotline: 03-76272929

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-77855955 atau 03-77810800

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-42657995

Lihat Komen
ADS