Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Nampaknya CSA antara k'jaan, pembangkang kian sukar dicapai
Diterbitkan:  Sep 10, 2021 7:15 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang melihat cadangan pemeteraian perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan dan pembangkang semakin sukar untuk dicapai.

Lim berkata demikian selepas beberapa keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang dipersoalkan, terbaru dengan kemungkinan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dilantik sebagai penasihat ekonomi.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu sebelum ini memberi peringatan bahawa usaha pemeteraian CSA itu mungkin terjejas jika Ismail enggan melaksanakan undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengesahkan majoriti sokongannya.

"Perjanjian bersejarah itu turut berdepan kegagalan selepas kerajaan membuat keputusan sepihak dalam melantik Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana CSA sepatutnya mengambil semangat dan pendekatan rundingan dalam usaha untuk memenangi perang melawan Covid-19.

"Kini, terdapat cakap-cakap yang seorang mantan perdana menteri yang bertanggungjawab mengubah Malaysia kepada kleptokrasi akan dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada perdana menteri, jawatan yang bertaraf menteri.

"Nampaknya kemungkinan adanya kejayaan bersejarah dalam membentuk CSA antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen sehingga semua rakyat dapat memberikan tumpuan tunggal untuk memenangi perang melawan Covid-19 hingga PRU15 tidak akan dapat dicapai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim juga menyatakan keraguannya terhadap pengumuman Muhyiddin sebagai pengerusi MPN yang baru.

Menurutnya, langkah yang diumumkan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN tiada beza dengan ketika dia menjadi perdana menteri.

Muhyiddin dilantik memimpin negara ketika wabak Covid-19 melanda, dengan kes Covid-19 meningkat daripada 33 kes pada hari pertamanya sebagai perdana menteri kepada 1,424,639 ketika dia letak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Seramai 12,784 orang telah terkorban akibat wabak itu sepanjang tempoh tersebut.

Lihat Komen
ADS