mk-logo
Berita
Menteri: Akta kawal penyebaran agama bukan Islam hanya untuk Wilayah Persekutuan
Diterbitkan:  Sep 10, 2021 7:33 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Penggubalan undang-undang untuk menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam hanya untuk diguna pakai di Wilayah Persekutuan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Idris berkata, sesetengah pihak telah salah faham berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

"RUU yang dicadangkan dalam konteks ini akan diguna pakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja.

Bagi negeri yang masih belum menggubal enakmen berkenaannya, ia bergantung kepada DUN masing-masing, kata Idris Ahmad.

Katanya lagi, walaupun RUU itu diluluskan, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan masih terjamin.

Dia berkata ia juga selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan berhubung larangan penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

“Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawali atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”,” katanya lagi.

Pada 7 September lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan memperkenalkan 11 rang undang-undang syariah baru, termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) kemudian meminta kerajaan memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

Pada masa ini, selain Wilayah Persekutuan, negeri yang tiada enakmen berhubung larangan pengembangan agama bukan Islam adalah Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang.

Semalam, kerajaan Sabah menolak cadangan memperkenalkan undang-undang seumpama itu.

Dalam pada itu, Idris menegaskan RUU tersebut hanya untuk orang Islam sahaja, dengan pengembangan agama agama lain kepada orang bukan Islam dibolehkan.

Katanya, kekeliruan timbul apabila kenyataan Ahmad Marzuk dipetik di luar konteks.

Katanya lagi, Ahmad Marzuk ketika menjawab perkara itu di Parlimen November lalu memberi penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama.

“Ia merangkumi penggubalan undang-undang baru dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan akta tersebut," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS