Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembaharuan PM: PH, kerajaan masih berbincang - Anwar
Diterbitkan:  Sep 11, 2021 11:22 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Di sebalik pengumuman pembaharuan yang dijanjikan kerajaan, Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan proses perbincangan untuk menanggapinya masih berjalan.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata dia menyambut baik kenyataan mengenai penambahbaikan itu dan menganggapnya sebagai permulaan yang baik.

Kata Anwar ia adalah perkembangan susulan selepas pemimpin utama PH mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Ogos lalu.

"Walaupun begitu, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, PH turut mengusulkan agar kerajaan memberi peruntukan tambahan segera sebanyak RM45 bilion selain moratorium pinjaman bank.

Katanya bantuan tersebut perlu untuk meringankan beban hidup rakyat secepat mungkin.

"Keutamaan PH semestinya berteraskan reformasi parlimen, reformasi fiskal dan program prorakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman," katanya.

Semalam Ismail Sabri menyatakan kabinet bersetuju melaksanakan sejumlah pembaharuan parlimen dan pentadbiran bagi mengembalikan kestabilan politik negara untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi. 

Tujuh pembaharuan yang dijanjikan itu ialah:

  1. Pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti di parlimen.
  2. Penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat.
  3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun.
  4. Keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang seimbang di antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.
  5. Setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
  6. Ahli parlimen pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN).
  7. Ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Untuk rekod tujuh pembaharuan itu hampir sama dengan tawaran rentas parti yang diumumkan Muhyiddin Yassin semasa mencari sokongan di ambang peletakan jawatannya pada 13 Ogos lalu.

Anwar juga berkata PH pada masa sama mereka masih berpendapat undi percaya kepada Ismail Sabri masih perlu dilakukan di parlimen dan ia wajar dibuat secepat mungkin.

Katanya ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa perdana menteri mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

"Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak eksekutif.

"Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan untuk rakyat," katanya.

Lihat Komen
ADS