Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Junaidi 'tertarik' pada cadangan timbalan speaker ketiga

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelihatan menyokong cadangan agar diwujudkan jawatan timbalan speaker ketiga Dewan Rakyat.

Katanya, ketika ini beban yang dipikul speaker dan dua orang timbalannya memang semakin berat dan jawatan ketiga itu dapat meringankan sedikit tugas berkenaan.

Wan Junaidi berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan parlimen mewujudkan jawatan timbalan speaker yang ketiga selepas ini.

Menurut Wan Junaidi, cadangan berkenaan memang tepat namun perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi setakat ini.

Tambah ahli parlimen Santubong itu lagi sebagai seorang daripada anggota kabinet, dia tidak mahu 'bertelagah' dengan kerajaan dengan mendahului mereka dalam isu timbalan speaker ketiga Dewan Rakyat.

"Kabinet belum membuat keputusan. Maka, saya tidak boleh cakap (lebih lanjut)," katanya.

Beberapa sumber dari Pakatan Harapan (PH) dan BN memberitahu Malaysiakini kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga.

"Ada pihak mahu kerajaan mewujudkan timbalan speaker ketiga yang dikhususkan kepada pembangkang.

"Kerajaan sedang mengkaji. Jika semuanya berjalan mengikut jadual, kerajaan akan membuat pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan agar mewujudkan timbalan speaker ketiga," kata sumber itu.

Idea itu juga dinyatakan secara jelas oleh Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang dicalonkan oleh blok kerajaan untuk menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ahmad menyatakan dengan jelas mengenai cadangan tersebut dalam satu daripada 20 ikrar yang ditawarkannya jika terpilih mengisi jawatan ditinggalkan Azalina Othman Said baru-baru ini. 

Menurut Ahmad timbalan speaker ketiga itu mungkin dikhususkan untuk wakil pembangkang dan satu daripada tiga timbalan speaker terbabit seeloknya ahli parlimen dari Sabah atau Sarawak.

Ahli parlimen Pontian itu akan bersaing dengan calon tunggal pembangkang Nga Kor Ming (Teluk Intan) bagi kerusi jawatan timbalan speaker kedua.

Kata Wan Junaidi dia masih tidak pasti mengenai desas-desus tersebut.

"Ia hanya dibangkitkan oleh banyak ahli politik. Saya tidak boleh menganggapnya sebagai pendirian rasmi untuk sesiapa buat masa ini.

"Apa yang saya boleh katakan adalah tiada keputusan rasmi daripada kerajaan, walaupun perkara tersebut diutarakan oleh ahli politik," katanya.

Lihat Komen
ADS