story image
mk-logo
Berita
Lada jangka 400,000 pelancong ke Langkawi mulai 16 Sept sampai Dis
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 10:27 AM
Dikemaskini: 10:27 AM

Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menjangkakan sekitar 400,000 pelancong akan mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan bermula pada pembukaan semula pulau peranginan itu di bawah program gelembung pelancongan, Khamis ini hingga Disember.

Ketua Pegawai Eksekutif Lada Nasaruddin Abdul Muttalib berkata dengan kehadiran hampir setengah juta pengunjung itu, Langkawi dijangka menerima hasil sekitar RM165 juta yang dibelanjakan oleh pelancong untuk pelbagai produk pelancongan.

"Melalui kajian yang Lada buat bersama USM (Universiti Sains Malaysia) purata perbelanjaan bagi setiap pelancong tempatan di Langkawi adalah sekitar RM412 sehari di Langkawi.

"Itu termasuk perbelanjaan untuk penginapan, makan, pengangkutan dan juga tiket-tiket kemasukan ke pusat-pusat pelancongan di Langkawi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau ditanya pemberita anggaran pendapatan yang dijangka dijana oleh industri pelancongan Langkawi susulan pembukaan semula pulau peranginan terkenal itu di bawah program gelembung pelancongan.

Nasaruddin berkata bagi tempoh permulaan pembukaan semula industri pelancongan di sini, LADA menetapkan sasaran 'sederhana' iaitu kira-kira 2,000 sehari dan 30,000 pelancong dalam tempoh dua minggu pada bulan ini.

Beliau berkata angka itu seterusnya akan meningkat dari semasa ke semasa apabila jumlah penerbangan dan perkhidmatan feri ke pulau itu bertambah dalam masa terdekat.

"(Angka) 2,000 sehari itu adalah angka yang sederhana kerana kita tidak mahu ghairah untuk (sasar) angka yang tinggi sehingga (keadaan berada di) luar kawalan, apa yang penting ialah kita dapat mengawal kehadiran pengunjung dengan baik," katanya.

Mengenai jumlah penerbangan masuk pada hari pertama pembukaan Langkawi, beliau berkata sebanyak lima penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor akan beroperasi mulai Khamis ini.

Mengenai perkhidmatan feri pula, beliau berkata sebanyak tiga trip perjalanan akan beroperasi dari Kuala Perlis, Perlis dan akan bertambah selepas pembukaan semula Terminal Feri Kuala Kedah apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kuala Kedah berakhir, 19 Sept ini.

"(Kemasukan secara berperingkat) itu akan memberi persediaan (secukupnya) kepada pemain industri dan pengendali (pelancongan) untuk menerima bilangan pengunjung yang lebih ramai pada masa akan datang," katanya.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS