Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes kematian Covid-19: Sejauh mana beza kaedah dulu dan kini?

Sejak wabak ini melanda, Malaysia telah melaporkan kematian Covid-19 hanya berdasarkan jumlah kematian yang disahkan pada hari tertentu, walaupun ia mungkin berlaku beberapa hari sebelumnya.

Namun, pada pagi 11 September, Kementerian Kesihatan mula melaporkan kaedah metrik baru - kematian Covid-19 dilaporkan mengikut tarikh kematian sebenar. Ini sebagai tambahan kepada amalan awal melaporkan kematian Covid-19 mengikut tarikh pelaporan.

Menurut pegawai kementerian dalam taklimat media pada hari Ahad, jumlah kematian rata-rata tujuh hari mengikut tarikh kematian si mati - berbanding tarikh kematian dilaporkan - memberikan petunjuk yang lebih baik mengenai keadaan Covid-19 Malaysia .

Pada asasnya, untuk kaedah baru, kematian Covid-19 yang baru disahkan akan "ditangguhkan" ke tarikh sebenar ketika kematian tersebut berlaku.

Tetapi seberapa besar perbezaannya? Sejauh manakah ketepatannya berbanding kaedah pelaporan statistik terdahulu?

Purata tujuh hari kematian Covid-19 mengikut tarikh kematian sebenar digambarkan sebagai garis hitam di laman web kementerian CovidNow. Garis itu bergerak di sepanjang kolum berwarna biru muda yang menunjukkan jumlah kematian setiap hari mengikut tarikh pelaporan kematian tersebut.

Maklumat yang lebih terperinci dikemas kini setiap hari di repositori data Github bagi mereka yang ingin meneliti data di sebalik carta tersebut.

Dengan menggunakan data yang disiarkan di Github untuk membandingkan kaedah metrik baru dan lama secara bersebelahan dan mengira perbezaannya, Malaysiakini mendapati bahawa - bagi kebanyakan pandemik - jumlah kematian yang dilaporkan sangat hampir dengan jumlah kematian sebenar yang berlaku pada hari itu.

Walaupun terdapat beberapa perubahan turun naik, sistem lama nampaknya berjalan dengan baik, bahkan semasa lonjakan Covid-19 susulan pilihan raya negeri Sabah tahun lalu.

Secara purata, kes yang dilaporkan setiap hari berbeza dengan jumlah sebenar kematian Covid-19 pada hari itu hanya dengan beberapa kes sahaja.

Namun, keadaan mula berubah sekitar bulan Julai dan mencapai puncaknya pada awal bulan Ogos.

Waktunya bertepatan ketika wabak Covid-19 memburuk di Lembah Klang, di mana kes meningkat daripada sekitar 3,000 sehari pada awal bulan menjadi lebih 9,000 sehari pada akhir bulan.

Peningkatan kes juga dicatat di banyak negeri lain di seluruh Malaysia, walaupun pada tahap yang lebih rendah daripada yang dilihat di Lembah Klang.

Pada ketika itu, tunggakan data mula meningkat dalam pelaporan kematian Covid-19 di Malaysia.

Sekarang, mengimbas kembali waktu itu, maka data menunjukkan Malaysia mengalami hari pandemik paling mematikan pada 10 Ogos ketika 359 orang menjadi korban Covid-19.

Pun begitu, hanya 201 kematian yang dilaporkan semasa itu. Statistik itu kekurangan data 158 kematian akibat tunggakan dalam pelaporan.

Sementara itu, di Selangor, kematian setiap hari meningkat menjadi 163 pada 3 Ogos, walaupun hanya 88 kematian yang dilaporkan pada waktu itu. Maksudnya, kekurangan seramai 75 orang.

Menurut pegawai khas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Dr Faizul Nizam Abu Salim semasa taklimat pada hari Ahad, tunggakan pelaporan ini dapat diselesaikan sekarang kerana keadaan Covid-19 telah mereda.

Kementerian berhasrat untuk membersihkan tunggakan minggu ini.

"Mereka (kakitangan hospital) memiliki lebih banyak waktu sekarang, mereka sedikit lega dalam hal tangungan beban kes mereka. Oleh itu, mereka berpeluang melakukannya, untuk melaporkan (dan) menyelesaikan sesuatu (dengan lebih cepat).

"Oleh itu, jangan terkejut jika anda melihat (dalam) beberapa hari ke depan, banyak garis mendatar tinggi untuk bar biru (kematian dilaporkan)," kata Faizul merujuk carta pada laman web CovidNow.

"Oleh itu, jangan terkejut jika anda melihat (dalam) beberapa hari ke depan, banyak garis mendatar tinggi untuk bar biru (kematian dilaporkan)," kata Faizul, merujuk pada carta di laman web CovidNow.

Lonjakan kes yang dilaporkan tercermin dalam analisis ini, yang mana jumlah kematian dilaporkan jauh melebihi jumlah kematian yang sebenarnya.

Titik fleksi pengubahan data ketara nampaknya bermula pada akhir Ogos.

Pada 11 September, misalnya, Malaysia melaporkan rekod tertinggi 592 kematian, tetapi jumlah kematian sebenar yang dikenal pasti pada hari itu adalah 122. 

Walau bagaimanapun, jumlah terakhir masih boleh berubah, kerana tarikh tersebut masih relatif baru dan tunggakan masih dibersihkan.

Buat masa ini, jumlah purata "kematian sebenar" yang berlaku dalam seminggu yang lalu adalah 104 kes sehari sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan kini melaksanakan perubahan pada laporan kematian Covid-19 untuk memastikan pelaporan lebih tepat pada masanya.

Di samping itu, KKM juga merancang untuk mencegah kelewatan pada masa depan dengan mengenakan had masa untuk hospital melaporkan kematian Covid-19.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS