Polis telah memanggil lima individu untuk membantu siasatan berhubung penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan ada pihak yang cuba menjalankan upacara baptis ke atas sejumlah orang Islam di sebuah gereja di Ipoh, Ahad lepas dan turut menafikan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria terbabit dalam penyebaran SMS tersebut.

Ketua Polis Perak Datuk Abdul Aziz Bulat berkata polis telah mengambil keterangan daripada kelima-lima individu terbabit dan masih mengesan beberapa orang lagi yang dipercayai dapat membantu polis dalam siasatan kes itu.

"Kita akan jalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut sebelum hasil siasatan diserahkan kepada pihak pendakwaraya," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di Ipoh hari ini ini.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Seri Musa Hassan pula menafikan Mufti Perak (foto bawah) terbabit dalam kes tersebut.

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Musa berkata, dakwaan pihak tertentu Harussani terbabit dalam penyebaran SMS itu adalah tidak benar kerana ulama itu tidak berada dalam negara ketika ini.

"Kalau beliau tidak ada dalam negara, saya tidak tahu macam mana beliau boleh dedahkannya seperti yang didakwa di dalam SMS itu," ujarnya.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat Mufti Perak (foto kiri) itu di Ipoh dan kakitangannya megesahkan belia berada di Syria kerana menghadiri sebuah persidangan di sana sejak Sabtu lalu. Harussani akan kembali ke tanahair pada 13 November ini.

Nama Mufti Perak timbul dalam isu ini kerana nama beliau antara yang disebut dalam SMS tersebut.

Musa juga memberi amaran polis akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang terlibat menyebarkan fitnah dan berita palsu melalui SMS atau e-mel.

Katanya, ISA wajar digunakan kerana individu yang terbabit menggugat ketenteraman awam dan menjejaskan keselamatan negara.

"Kita boleh menjalankan siasatan di bawah ISA jika perkara ini menjadi serius," katanya.

Khabar angin

Musa berkata siasatan awal mendapati khabar angin yang mengatakan orang Melayu "masuk Kristian" adalah tidak benar.

Katanya polis masih mengambil keterangan daripada beberapa orang bagi membantu siasatan.

SMS itu mendakwa, sekumpulan umat Islam akan bertukar agama untuk menganut agama Kristian di gereja Lady of Lourdes Ipoh pada pagi Ahad lalu.

Mesej tersebut disebarkan Jumaat lalu, antara lain ia mendakwa sekumpulan umat Islam akan dibaptiskan oleh pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor (foto bawah) di sebuah gereja di Ipoh pada Ahad lalu.

Akibat SMS itu, sekumpulan umat Islam termasuk wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah berkumpul di perkarangan gereja tersebut untuk mendapatkan kepastian mengenai upacara, yang dikatakan membabitkan 110 kanak-kanak keturunan India.

Ekoran penyebaran SMS tersebut, setakat ini tiga laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu masing-masing oleh pihak polis, Pemuda Umno Perak dan pihak gereja yang terlibat dan polis menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan.

Dalam pada itu semalam Azham Mansor, abang kepada Datuk Azhar Mansor, menafikan adiknya itu telah murtad dan kini beragama Kristian.

Beliau juga menafikan khabar-khabar angin yang mendakwa Azhar (foto kiti) kini menetap di Australia dan giat menjalankan aktiviti memurtadkan orang Islam lain.

"Fitnah semuanya. SMS yang mengatakan Azhar sudah peluk agama Kristian dan telah banyak membaptiskan pelajar adalah tidak benar.

"Saya sebagai abang Azhar hendak menjelaskan bahawa SMS itu menipu. Saya amat sedih dan terkilan dengan tohmahan ini," katanya.