Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta kerajaan mempermudahkan kelulusan pas perjalanan antarabangsa bagi pasangan suami isteri yang terpisah di seberang laut.

Pengasas bersama Muda itu berkata, dia menerima aduan mengenai kesukaran dihadapi orang ramai dalam mendapatkan pas perjalanan untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk ke Malaysia.

Sehubungan dengan itu Syed Saddiq berkata dia telah menulis surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Kesihatan berhubung perkara itu.

"Saya menerima makluman bahawa masalah banyak timbul kerana perlaksanaan kuncitara dari Mac 2020 kepada orang ramai yang ingin bergerak merentasi sempadan antarabangsa.

"Golongan ini terdiri daripada antaranya orang Malaysia atau pemastautin asing di Malaysia yang ingin keluar negara untuk melawat isteri atau suami dan anak mereka.

"Pas perjalanan dan kelulusan ini wajar ditawarkan kepada mereka kerana perpisahan yang lama dan berjauhan meninggalkan kesan psikologi yang teruk kepada individu dan keluarga terutamanya dalam waktu pandemik Covid-19," katanya.

Justeru Syed Saddiq memohon kerajaan mengambil langkah bagi membolehkan golongan ini memperolehi pas perjalanan dengan lancar serta membentuk garis panduan khusus.

Ini termasuk memastikan mereka yang keluar dan pulang ke Malaysia menjalani kuarantin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti ujian berkala dilaporkan kepada pihak berkuasa, dengan penjamin daripada orang yang ingin dilawat;

Katanya, kerajaan juga boleh memastikan mereka yang tiba di Malaysia menjalani kuarantin dan mengikut SOP, di samping meletakkan seorang sebagai penjamin untuk lawatan pasangan.

Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk mendapatkan komen kepada menteri yang berkenaan.