Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan benar solat Jumaat kapasiti 40 jemaah mulai esok
Diterbitkan:  Sep 16, 2021 10:38 PM
Dikemaskini: 2:38 PM

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengumumkan kebenaran menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu dengan kapasiti jemaah 40 orang di masjid, surau dan musolla negeri itu, di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 2.

Yang Dipertua Maik Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz memaklumkan kebenaran itu berkuat kuasa esok (17 September), setelah mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Kebenaran itu tertakluk kepada kakitangan dan jemaah yang terpilih sahaja, selain beberapa syarat termasuk hanya mereka yang telah menerima dos lengkap suntikan vaksin akan dibenarkan hadir bersolat berjemaah.

Ini bermakna jemaah perlu melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin dua dos (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) atau melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan vaksin satu dos (Johnson & Johnson dan CanSino).

Ia juga tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.

“Pelaksanaan solat fardu lima waktu di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musolla seluruh negeri Kelantan adalah dibenarkan dengan 40 jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan jemaah terpilih sahaja.

“Pihak Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

“SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid/ surau/ musolla.

“Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan untuk mematuhi SOP ini,” kata Tengku Mohamad Rizam dalam satu kenyataan hari ini.

Antara syarat digariskan Maik ialah wajib memakai pelitup muka; memastikan pengudaraan yang baik dengan membuka semua pintu, tingkap dan kipas manakala penggunaan penyaman udara tidak digalakkan.

Masa aktiviti juga disingkatkan untuk aktiviti wajib saja iaitu sejam sebelum solat Jumaat dan 30 minit bagi solat fardu; penandaan jarak sekurang-kurangnya 2 meter; jemaah dikehendaki membawa sejadah sendiri bersaiz besar; dan pergerakan selepas solat mesti dipastikan tidak bersesak-sesak.

Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti di masjid, manakala semua aktiviti lain seperti kuliah, tadarus dan lain-lain adalah tidak dibenarkan.

Sebelum ini Maik hanya membenarkan empat jemaah yang terdiri daripada kakitangan masjid dan surau dibenarkan menunaikan solat fardu sepanjang tempoh PKP penuh bermula 1 Jun lalu.

Lihat Komen
ADS