Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MOU kerajaan-PH: Pejuang tak diajak berbincang, kata Dr M
Diterbitkan:  Sep 18, 2021 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak dijemput untuk berbincang berhubung memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang itu berkata pihaknya juga tidak akan menyokong sebarang bentuk kerjasama yang dilihat mempunyai "unsur rasuah".

"Pertamanya, ketika (Pejuang) tidak dijemput untuk berbincang mengenai perkara itu.

"Kalau kita ambil bahagian kerana dapat pulangan tertentu, itu tak sesuai kerana nampak unsur rasuah.

"Iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami, itu kami tidak boleh terima," katanya dalam sidang media di Langkawi, hari ini.

Semalam, pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengajak Pejuang, Warisan dan Muda menyokong dan menandatangani MOU berkenaan.

Baru-baru ini kerajaan menandatangani MOU dengan pihak PH yang mana beberapa pembaharuan akan dilakukan kerajaan selepas mendapat persetujuan bersama.

Dalam dokumen MOU antara PH dan kerajaan pimpinan Ismail, kerajaan menjanjikan sejumlah reformasi dalam jangka waktu tertentu, dan juga berjanji untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Sebagai balasannya, PH berjanji tidak akan menggunakan undi mereka menggulingkan Ismail Sabri atau menyekat Belanjawan 2022 selagi pembaharuan yang dijanjikan mengikut jadual dan mereka akan dilibatkan dalam perbincangan mengenai Rang Undang-Undang Belanjawan.

Pada masa sama, PH mengatakan mereka akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang.

Dalam pada itu, Mahathir berkata Pejuang akan kekal sebagai blok bebas dan tidak akan terikat dengan mana-mana pihak, namun sedia mengadakan perbincangan untuk kepentingan rakyat.

“Kita bebas, tak terikat dengan mana-mana parti, kita boleh bercakap dengan mereka, tapi tak terikat," katanya.

Jelasnya, Pejuang berpendapat perlu ada kebebasan bagi parti pembangkang untuk menegur kerajaan seperti amalan demokrasi biasa.

“Dalam sistem demokrasi kita perlu parti lawan untuk beri teguran kepada kerajaan, lainlah kalau kita ada kerajaan perpaduan di mana semua orang (parti) ada kuasa yang sama," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS