Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengakui kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Presepsi Rasuah (CPI) menimbulkan tanggapan negatif terhadsap negara ini.

"Saya merasa dukacita tapi kita terima indeks itu walaupun ia menimbulkan persepsi negatif mengenai negara kita. Kita tidak ada indeks lain.

"Jika indeks itu menunjukkan kita berada di tingkat bawah, kita akan berusaha memperbaiki kedudukan. Memanglah kita dukacita tetapi yang penting ialah usaha kita untuk memerangi rasuah akan dipergiatkan lagi," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata Malaysia menerima laporan berkenaan secara rasional dan akan berusaha memperkukuhkan usaha memerangi rasuah di sektor awam atau swasta di seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan akan mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) meneliti secara mendalam punca kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 jatuh ke tangga ke-44 daripada 163 negara tahun ini berbanding ke-39 tahun lepas.

"Kerajaan tidak akan berputus asa untuk memperbaiki kedudukan berkenaan melalui pelbagai langkah memperkukuh integriti di kalangan agensi awam dan sektor swasta di negara ini, sekali gus memelihara imej Malaysia dari perspektif antarabangsa," katanya.

Semalam, Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon V Navaratnam berkata kedudukan Malaysia dalam CPI 2006 jatuh ke tangga ke-44 tahun ini berbanding tangga ke-39 tahun lalu daripada 163 negara yang terbabit dalam kajian berkenaan.

Navaratnam dilaporkan berkata CPI merosot 5.0 mata tahun ini berbanding 5.1 tahun lalu.

Berikutan kemerosotan itu, kedudukan Malaysia di Asia Pasifik berada pada kedudukan ke-10, mengatasi negara serantau lain seperti Thailand, China, India, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Mohamed Nazri berkata hasil kajian BPR itu akan dijadikan landasan untuk kerajaan memperkukuh usaha memerangi gejala rasuah, sekali gus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan.