Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Vaksin kanak-kanak: NPRA teliti permohonan Sinovac - KKM

Selepas Pfizer, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kini meneliti permohonan Sinovac agar vaksin tersebut diberikan kepada golongan remaja di negara ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, Sinovac, yang merupakan syarikat farmaseutikal yang berpusat di Beijing, baru-baru ini telah mengemukakan dokumen untuk mendapatkan kelulusan agensi tersebut.

"Ya, Sinovac telah hantar. Mereka (NPRA) sekarang sedang menelitinya.

"Masih dalam proses," kata pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr Kalaiarasu Peariasamy semasa taklimat dengan pihak media hari ini.

Kalaiarasu adalah salah seorang pakar perubatan yang bercakap dalam sesi bersama media bagi menerangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Remaja, yang bermula baru-baru ini.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak memberikan perincian lebih lanjut mengenai permohonan berkenaan.

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan hanya meluluskan vaksin Pfizer Comirnaty Covid-19 untuk digunakan pada remaja berusia antara 12 dan 17 tahun.

Pada Mei lalu, dilaporkan bahawa Pharmaniaga Berhad sedang menunggu kelulusan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) China agar vaksin tersebut digunakan pada kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun.

Pharmaniaga adalah pengedar tunggal untuk Sinovac di Malaysia.

“Kita sedang tunggu persetujuan oleh FDA China untuk vaksin Sinovac Covid-19 bagi kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan (untuk membenarkan) pengeluaran dua dos setiap botol sebelum menyerahkannya ke NPRA untuk proses variasi tersebut.

"Kapasiti pengeluaran itu dijangka meningkat empat juta sebulan sejurus selepas botol dua dos itu diluluskan," kata pengarah urusan kumpulan Pharmaniaga, Zulkarnain Md Eusope semasa sidang media dalam talian pada 26 Mei.

Lihat Komen
ADS