Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Pegawai kanan SPRM disiasat kerana miliki senjata api, dadah

Polis mengesahkan siasatan terhadap seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan dua kes iaitu memiliki dadah dan senjata api, bukan berhubung kehilangan wang berjumlah AS$6 juta (RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata pegawai kanan berkenaan ditahan pada Selasa lepas dan tangkapan dilakukan atas kesalahan memiliki dadah berbahaya dan senjata api serta peluru.

Katanya individu itu disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek direman selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kelmarin Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata PDRM membuka satu kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang diterima berkaitan kes berkenaan.

Hamzah berkata kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Isnin lalu, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan membabitkan dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

- Bernama

Lihat Komen