Pendedahan kerajaan bahawa pemilikan saham bumiputera di Bursa Malaysia mencecah 36.64 peratus tahun lalu membuktikan hasil dua kajian tempatan mengenainya adalah betul, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim yang juga lulusan akauntan berkata, ini menunjukkan sasaran 30 peratus pemilihan ekuiti bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) telahpun tercapai.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Dewan Rakyat bahawa pemilikan saham bumiputera dalam syarikat tersenarai di papan utama dan papan kedua Bursa Malaysia telah mencecah 36.64 peratus pada 31 Disember tahun lalu.

"Apa yang dikatakan oleh Datuk Awang Adek itu telah mengesahkan hasil kajian Dr M Fazilah Abdul Samad dari Universiti Malaya (UM) dan Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) yang disediakan oleh Dr Lim Teck Ghee," kata Lim dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Kedua-dua kajian tersebut yang ditolak oleh kerajaan mendakwa sasaran DEB telahpun dicapai. Laporan Asli merumuskan pemilikan ekuiti bumpitera ialah kira-kira 45 peratus manakala kajian Dr Fazilah pula merumuskan pencapaiannya pada tahap 33.7 peratus pada 1997.

"Dengan pendedahan timbalan menteri itu, kerajaan mesti mengakui bahawa ia silap dan mempunyai tanggangungjawab moral untuk memohon maaf kepada Dr Lim Teck Ghee," kata Lim.

Teck Ghee, yang juga pengarah Pusat Kajian Dasar Awam, Asli, meletak jawatan sebagai membantah tindakan Presiden Asli, Mirzan Mahathir menarik balik laporannya dan mendakwa kaedah yang digunakan tidak tepat.

Prinsip perakaunan

Setiausaha Agung DAP itu menegaskan, hujah kerajaan bahawa pemilikan ekuiti bumiputera masih di bawah sasaran 30 peratus pada tahap 18.9 peratus tidak boleh dipertahankan lagi.

Perkiraannya dibuat berdasarkan kepada nilai tara saham yang membabitkan lebih 600,000 syarikat yang berdaftar dan bukannya 1,000 lebih syarikat tersenarai.

"Semua orang tahu mengikut prinsip mudah perakaunan bahawa menggunakan perkiraan nilai tara adalah tidak realistik kerana hanya nilai pasaran sahaja yang boleh memberi gambaran sebenarnya. Juga, syarikat tersenarai adalah syarikat dengan nilai sebenarnya, bukannya syarikat yang tidak tersenarai," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta bekas Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Datuk Dr Fong Chan Onn kini merupakan Naib Presiden MCA dan Menteri Sumber Manusia supaya membantu kerajaan menjelaskan perkara tersebut.

Menurut Lim lagi, Fong penah berkata, nilai pasaran adalah ukuran sebenar dalam perkiraan seumpama itu.

Pemimpin DAP itu juga menggesa kerajaan mengkaji semula DEB, sambil menegaskan dasar itu sepatutnya tamat pada 1997 apabila sasaran 30 peratus itu telah dicapai, dan tumpuan sepatutnya diberikan kepada soal pengagihan kekayaan.

Sekat dayasaing

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Tan Lian Hoe berkata kerajaan tidak seharusnya melanjutkan DEB dengan melaksanakan dasar-dasar bertindak afirmatif yang berasaskan kaum.

Katanya, secara peribadi, beliau tidak kisah dengan pemilikan bumiputera sama ada melebihi 30 peratus atau tidak tetapi padanya, yang lebih penting ialah dayasaing rakyat Malaysia.

"DEB sebenarnya menghalang dayasaing bumiputera kerana mereka fikir setiap perkara akan diberi oleh kerajaan. Mereka menunggu untuk mencapai ekuiti tersebut tanpa (perlu) inovatif atau berdayasaing dalam setiap aspek," katanya.

"DEB patut ditamatkan. Lagi lama ia diteruskan, ia akan menghlang rakyat maju ke hadapan ia boleh membuat mereka mundur ke belakang," tambahynya.

Setiausaha Agung PAS yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata jawapan Awang Adek semalam telah "menimbulkan lebih banyak persoalan daripada memberi jawapannya".

Katanya, kerajaan patut menjalankan satu siri kajian untuk menyiasat bagaimana kekayaan itu diagihkan di kalangan bumiputera.

Manakala Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek pula tidak bersetuju dengan hujah bahawa sasaran DEB sudah dicapai.

Katanya, pencapaian 36.64 peratus itu hanya merupakan pemilikan saham bumiputera dalam syarikat tersenarai dan tidak termasuk majoriti syarikat yang tidak tersenarai.

Menurutnya, semangat DEB masih relevan untuk merapatkan jurang dalam masyarakat bumiputera, tetapi mengakui DEB telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak dan kerajaan mesti menangani masalah tersebut. Berita asal