Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mangsa buruh paksa diselamatkan lepas 3 tahun tak dibayar gaji
Diterbitkan:  Sep 25, 2021 12:13 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Seorang pekerja warganegara Indonesia yang menjadi mangsa buruh paksa telah diselamatkan pihak berkuasa selepas mendapat aduan dan maklumat daripada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan memaklumkan operasi menyelamat yang disertai pelbagai agensi itu dilakukan di sebuah kediaman di Ayer Tawar, Perak pada jam 6.50 pagi, 23 September lalu.

"Mangsa yang diselamatkan adalah seorang wanita warganegara Indonesia dan beliau mengesahkan bahawa beliau masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang agen yang dikenalinya.

"Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa telah dipotong sebanyak 4 bulan berjumlah RM350 sebulan sebagai kos bayaran kepada agen tersebut. Namun mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada agen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian beliau termasuklah bayaran kepada agen berkenaan," kata kenyataan tersebut,

Menurut kenyataan itu, siasatan awal menunjukkan mangsa yang telah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020 diklasifikasikan sebagai buruh paksa.

Antara indikator tersebut termasuklah gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 dan berjumlah lebih kurang RM25,000.

"Majikan/suspek juga mengeksploitasi mangsa dengan ugutan beliau bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

"Bahkan mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak.

"Kesemua situasi yang dihadapi oleh mangsa merupakan indikator kukuh yang menunjukkan bahawa majikan/suspek telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants – ATIPSOM) 2007," jelasnya.

Mangsa yang diselamatkan masih dalam keadaan trauma dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas diberikan Interim Protection Order (IPO) oleh Mahkamah Magistret Sri Manjung pada tarikh sama dia diselamatkan.

Malaysiakini difahamkan tidak ada penangkapan dilakukan semasa operasi berkenaan.

Ketika dihubungi, sumber Jabatan Tenaga Kerja mengesahkan majikan berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Julai lalu, operasi serupa dilakukan di Taiping, Perak bagi menyelamatkan seorang pembantu rumah yang didera secara fizikal, di samping gajinya ditahan oleh majikan.

Lihat Komen
ADS