mk-logo
Berita
Rimba Shah Alam dinyah warta? Dakwaan exco S'gor dipertikai
Diterbitkan:  Sep 25, 2021 2:08 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

NGO alam sekitar mempertikaikan dakwaan kerajaan Selangor bahawa Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) - yang sedang berjalan kerja-kerja tanah - telah dinyahwartakan dan bukan lagi sebahagian Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah.

Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam menyoal kenyataan exco pelancongan, alam sekitar dan hal ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian yang memaklumkan kerajaan negeri telah menyahwartakan kawasan itu pada tahun 2006 melalui "PW1443."

PW merujuk kepada "pelan warta", peta kawasan yang bakal dikeluarkan dari rizab hutan simpan kekal.

"Walau bagaimanapun, nombor ini merujuk kepada pelan ukur (survey plan) dan tidak merujuk kepada sebarang notis yang telah diterbit di dalam Warta Kerajaan Negeri (Gazette).

"Pelan tinjauan PW1443 telah ditandatangani oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri Selangor, John Elvis Koh pada 7 September 2006. 

Bukti mesti dalam Warta K'jaan Selangor

"Pelan tersebut sememangnya menunjukkan rancangan kerajaan untuk menghapuskan status hutan. 

"Tetapi, pelan ukur itu bukan bukti bahawa rizab hutan telah dinyahwartakan. Buktinya mesti diterbitkan di dalam Warta Kerajaan Negeri.

"Pemberitahuan Warta diperlukan oleh Seksyen 13 Enakmen Kehutanan. Kami telah memeriksa warta berkenaan dan mendapati bahawa Hutan Simpanan Bukit Cherakah tidak dinyahwartakan pada tahun 2006," katanya pada satu kenyataan.

Oleh itu, Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam berkata dakwaan Hee "mengelirukan."

"Sehingga pemberitahuan warta dikeluarkan, kawasan tersebut perlu diiktiraf sebagai hutan simpan kekal.

"Pemberitahuan keputusan kerajaan di dalam Warta adalah sistem penting untuk demokrasi kita justeru memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban. 

"Kami meminta kerajaan menghormati Hutan Simpan Bukit Cherakah dan menghentikan kemusnahannya," katanya.

Kumpulan itu meminta kerja-kerja pembersihan dan penebangan hutan di SACF segera dihentikan.

Mereka juga mahu Jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan DUN Selangor (Selcat) mengadakan pendengaran mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS