mk-logo
Berita
Cabutan khas judi: Reaksi PAS bak lepas batuk di tangga - Kadir
Diterbitkan:  Sep 25, 2021 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Reaksi PAS terhadap isu cabutan khas judi yang diizinkan kerajaan sekarang dianggap sekadar melepaskan batuk ditangga oleh Tokoh Wartawan Negara A Kadir Jasin.

Malah A Kadir PAS juga secara tidak langsung meletakkan parti itu sebagai rakan subahat dengan kegiatan tersebut apabila salah seorang pemimpinnya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, berpendapat Putrajaya wajar mengekalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Kalaulah PAS ini betul-betul berpegang kepada Islam seperti didakwa dan dihebahkan kepada para walaknya, tentu ia membantah dengan sekeras-kerasnya sehingga keluar kerajaan jika perlu.

"Tetapi reaksi PAS tidak lebih daripada melepas batuk di tangga saja," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

PAS kini dikecam pelbagai pihak atas kedudukan mereka dalam kerajaan selepas Kementerian Kewangan membenarkan semua syarikat perjudian kembali melakukan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.

Cabutan khas itu adalah tambahan kepada aktiviti mingguan yang dilakukan dari semasa ke semasa.

Kebenaran itu disahkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Bukan diharamkan, tapi diperkasa

Asalnya cabutan khas berkenaan - yang diperkenalkan sebagai langkah mengumpul dana ekoran ancaman virus Nipah lebih dua dekad lalu - memang 22 kali setahun.

Apabila PH menjadi kerajaan pusat, kekerapan itu diturunkan kepada 11 kali pada 2019 sebelum dikurangkan kepada hanya lapan kali pada 2020.

Selepas PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, kerajaan baru kembali menaikkan kekerapan itu kepada 22 kali pada tahun ini.

PAS merupakan salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan menjadi kerajaan sekarang.

A Kadir berkata sejak sekian lama, modal besar PAS semasa berkempen ialah kerajaan BN tidak Islamik kerana membenarkan kegiatan judi dan penjualan arak.


Baca Isu judi: Lainlah kalau PAS berkuasa penuh - Mohd Amar


Katanya PAS juga berikrar untuk mengharamkan kegiatan tersebut apabila mereka berkuasa.

"Itulah antara janji PAS kepada para walaknya, atau walaun mengikut istilah media sosial.

"Sekarang, apabila PAS duduk dalam kerajaan, dapat jawatan kabinet dan Menteri Kewangan pula orang Melayu-Islam berketurunan raja bernama Tengku Zafrul Abdul Aziz, bukan sahaja judi tidak diharamkan malah diperkasakan," katanya.

Menurut A Kadir, tidak mungkin Tengku Zafrul bertindak bersendirian dan memandai-mandai untuk meluluskan permohonan daripada agensi nombor ramalan untuk menambah bilangan cabutan khas kepada 22 kali.

"Takkan kabinet atau perdana menteri tak tahu?" katanya.

A Kadir yang juga bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd berkata Tengku Zafrul adalah orang korporat, justeru keutamaannya adalah mendapatkan hasil buat kerajaan.

"Manakala pemimpin Melayu-Islam PN pula nampak macam tidak berapa peduli asalkan hasil kerajaan ada untuk membayar gaji, elaun, pencen dan segala kemudahan mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS