Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara awal pagi tadi kerana menghadapi masalah jantung.

Menurut anaknya, Datuk Mukriz Mahathir, bapanya mengalami sakit dada kira-kira jam 4.30 pagi tadi semasa berada di rumahnya di The Mines, Sri Kembangan.

"Tun terus dikejarkan ke hospital dan menurut doktor beliau perlukan rehat dan pengawasan selama seminggu. Tun berada dalam keadaan stabil sekarang," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Beliau berkata, bapanya yang baru kembali dari New Zealand pada kira-kira jam 5 petang semalam telah bersama-sama meraikan tetamu di rumah terbuka Aidilfitri anak-anaknya yang diadakan di kediaman mereka di Seri Cahaya, Mines Resort, Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, Dr Mahathir (foto terbaru-semalam) kelihatan amat ceria menyambut pelbagai tetamu dan mereka yang datang untuk berhari Raya dengan anggota keluarganya.

Dr Mahathir dijadualkan menghadiri majlis perasmian perhimpunan agung Umno Rabu depan dan Program Seminar Kepimpinan bersama Tun Dr Mahathir di Johor Bharu pada Sabtu ini.

Tiga tempat tersumbat

Dr Mahathir pernah melalui pembedahan pintasan koronari di IJN pada 1989.

Kali terakhir beliau dirawat di IJN ialah pada Disember tahun lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, IJN berkata bekas Perdana Menteri itu dimasukkan ke institut tersebut setelah diserang sakit jantung ringan.

Dr Mahathir, yang akan mencapai usia 81 tahun bulan depan, mengadu sakit dada pagi ini dan dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), kata kenyataan tersebut.

"Beliau dalam keadaan stabil dan dijangka dirawat selama seminggu," kata kenyataan itu.

Manakala akhbar The International Herald Tribune melaporkan awal minggu ini bahawa Dr Mahathir telah dimaklumkan oleh doktornya mengenai jantungnya yang tersumbat di tiga tempat.

Dengar taklimat

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di IJN kira-kira jam 2.15 petang untuk menziarah Dr Mahathir.

Ketibaan Abdullah disambut oleh anak Dr Mahathir, Mokhzani. Perdana Menteri dilihat meninggalkan IJN kira-kira jam 2.28 petang.

Mokhzani kemudiannya memberitahu pemberita, Abdullah diberi taklimat oleh pakar kardiologi, Dr Sarjev Joshi mengenai keadaan Dr Mahathir.

Ketika Abdullah datang mengunjungi beliau, Dr Mahathir yang ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU), sedang tidur setelah diberi ubat sedatif ringan oleh doktor untuk membolehkan beliau mendapat rehat yang cukup.

Mokhzani berkata, menurut doktor, keadaan bapanya kini stabil dan tidak perlu menjalani sebarang pembedahan pintasan koronori.

Doktor juga, kata beliau, menasihatkan Dr Mahathir supaya berihat.

Menurut Mokhzani lagi, keadaan bapanya mungkin disebabkan oleh terlalu banyak perjalanan dan baru pulang dari New Zealand malam tadi.

Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri itu ke Jeddah, Arab Saudi untuk menghadiri satu majlis ringkas dan pulang esoknya sebelum ke New Zealand pada hari Isnin untuk menyampaikan ceramah di Universiti Victoria di Wellington dan baru pulang ke tanah air petang semalam.

Di samping itu, dalam majlis sambutan hari raya yang diadakan malam tadi, Dr Mahathir telah melayan ramai tetamu yang hadir (foto).

Turut menziarahi Dr Mahathir di IJN adalah Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menjelang lewat petang, ramai kenalan rapat dan sanak-saudara datang memenuhi tingkat satu hospital itu untuk menziarah Dr Mahathir.