Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memberi komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050.

Beliau berkata usaha untuk mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan, tambahnya.

Bagi menyokong usaha ini, perdana menteri berkata instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan manakala perincian langkah-langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu. Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi.

“Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong. Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” kata Ismail Sabri semasa membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika ini, Malaysia menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan gas rumah kaca.

“Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon," tambah beliau.

Justeru, beliau berkata Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

Tambahnya, penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.

Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial, kata Ismail Sabri.

Menjelang 2025, penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang.

Sehubungan itu, model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan.

Di samping itu, Ismail Sabri berkata pelaburan hijau juga akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta syarikat berkaitan kerajaan.

"Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat. Sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan. Bagi tujuan ini, pelaksanaan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan," katanya.

Selain itu, kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

Bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh, pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan, kata Ismail Sabri.

“Selain itu, inisiatif perolehan hijau kerajaan akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut menyambut baik inisiatif sektor swasta yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai pengeluaran karbon sifar menjelang 2050.

“Langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka,” katanya.

Dalam usaha kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, Perdana Menteri berkata pertubuhan masyarakat sivil (CSO) akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan.

“Bagi tujuan ini, peranan CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030,” tambahnya.

- Bernama