Suqiu: GPMS rancang temui PAS, Keadilan
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bercadang mengadakan perbincangan dengan PAS dan Parti Keadilan Nasional berhubung isu perpaduan bangsa dan tuntutan gabungan persatuan Cina, Suqiu, yang didakwa menyinggung kepentingan Melayu.
"Adalah tidak adil sekiranya kita (gabungan itu) tidak berjumpa dengan kedua-dua parti ini bagi membincangkan penyatuan orang Melayu," kata Presiden GPMS Datuk Suhaimi Ibrahim kepada malaysiakini , mengulas perbincangan gabungan itu dengan Presiden dan Timbalan Presiden Umno bulan lalu.
Beliau mengulas langkah Umno mengajak pemimpin dua parti pembangkang itu sebagai perkembangan positif tetapi "soal penting ialah menangani isu Suqiu."
Suhaimi menjelaskan GPMS masih meneruskan cadangan asal untuk menggerakkan jentera cawangannya bagi mengadakan perhimpunan rakyat yang akan bermula di Terengganu Sabtu ini.
"Saya serahkan kepada jentera di peringkat negeri," katanya, apabila ditanya jumlah orang ramai yang bakal menyertai program itu yang dijadualkan di Kompleks Belia dan Sukan Kuala Terengganu.
Beliau juga menegaskan GPMS kekal dengan 100 tuntutan dan meneruskan perhimpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil sekiranya Suqiu tidak menarik balik tuntutan dalam tempoh sebulan yang berakhir 14 Januari depan.
Bagaimanapun Ketua-ketua Pemuda parti pembangkang itu menolak rancangan gabungan pelajar itu untuk membangkitkan semula soal tuntutan Suqiu.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata isu itu tidak perlu dibangkitkan kerana Suqiu dalam kenyataan sempena sambutan hari Natal dan Hari Raya baru-baru ini turut mempertahankan hak istimewa Melayu seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
"Saya khuatir ada niat (tindakan GPMS) yang tidak baik (yang boleh menggugat) hubungan kaum dan perpaduan yang sedia ada," katanya, mengulas usaha gabungan itu mendesak lebih 2000 persatuan Cina itu menggugurkan semua 17 rayuan yang dibentangkan menjelang pilihanraya umum November 1999.
Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor menyokong pandangan Mahfuz dan menolak cadangan mengadakan pertemuan itu kerana mendakwa Presiden GPMS itu seorang yang "tidak bermaruah, tidak berwibawa dan tidak mempunyai prinsip".
"Saya mempunyai bukti bagaimana beliau menggadaikan prinsip," kata Ezam lagi, yang menjelaskan beliau mengenali Suhaimi ketika masih bersama Umno.
Beliau juga menyifatkan Presiden GPMS itu sering berdolak-dalih dalam perjuangan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.