Adakah Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang akan dibentangkan dalam sesi parlimen kali ini telah dibincangkan secara mendalam dan menyeluruh dengan pasukan polis?

Perkara itu dibangkitkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini.

Katanya undang-undang untuk menggantikan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang di perkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mendapat bantahan meluas, terutama dalam kalangan anggota polis.

“IPCC wajar mendapat dukungan anggota polis kerana ia tidak akan menjadi undang-undang yang berjaya tanpa pandangan, sokongan dan penyertaan bermakna pasukan keselamatan kita,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Mohamad juga membangkitkan persoalan sama ada IPCC menterjemahkan semangat sebenar reformasi pasukan polis seperti yang diusulkan dalam laporan suruhanjaya diraja untuk meningkatkan operasi dan pengurusan yang dipengerusikan oleh Mohammad Dzaiddin Abdullah pada 2005.

Katanya, Laporan Dzaiddin memperincikan 125 saranan khusus untuk penambahbaikan operasi dan tatakelola sistem kepolisian dan IPCMC atau IPCC hanya salah satu daripadanya.

Katanya, banyak lagi saranan yang berkaitan dengan sumber manusia, kebajikan, imbangan kuasa dan pembaharuan menyeluruh yang wajar dilaksanakan bagi menjadikan sistem kepolisian kita setara dengan standard dunia.

“Reformasi institusi tidak mencukupi hanya sekadar penambahbaikan IPCMC kepada IPCC.

“Pasukan polis memerlukan lebih dari itu untuk menjadi lebih berkesan dan berwibawa,” katanya yang menyeru kerajaan membentangkan rancangan pembaharuan dan permodenan polis dengan segera.

Katanya, IPCC mesti diseimbangkan dengan komitmen kerajaan untuk memperbaiki secara menyeluruh gaji, kemajuan kerjaya, kebajikan dan peningkatan kemahiran anggota polis.

“IPCC hanya akan mencapai matlamatnya jika ia dilaksanakan selari dengan segala pembaharuan lain yang disarankan oleh Laporan Dzaiddin.

“Setelah lebih 17 tahun, Laporan Dzaiddin masih lagi tertangguh untuk dilaksanakan secara rapi dan bersepadu,” katanya.

/ends