Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, dengan tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan seorang lelaki yang memiliki air ketum, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azahari Affendi Basri, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Dalam pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, didakwa secara rasuah cuba memperoleh RM2,000 daripada Jabir Mohamad sebagai dorongan melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal, bagi mengurangkan pertuduhan terhadap lelaki itu atas kesalahan memiliki air ketum.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan kereta Proton Wira yang disita sebagai barang kes pemilikan air ketum daripada individu sama.

Dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di IPD Jeli, jam 2 petang, pada 15 Mei 2018.

Sementara itu bagi pertuduhan ketiga, Azzahari Affendi didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM4,000 sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal daripada lelaki sama atas kesalahan memiliki air ketum dan melepaskan Proton Wira yang disita, jam 4 petang, pada 16 Mei 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Nurul Hazikah Tuan Yacob dan Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam bela Asmadi Abu Bakar.

Terdahulu, Tengku Nurul Hazikah menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin dan tidak mengganggu saksi selain perlu melaporkan diri di SPRM setiap bulan.

Susulan itu Asmadi memohon agar anak guamnya diberi jaminan sebanyak RM7,000 kerana lelaki itu sudah berkahwin dan kini bertugas di Pulau Pinang.

"Beliau juga menanggung ibu dan ayah yang sudah uzur dan ini adalah kes pertamanya," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh ditawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Lihat Komen
ADS