Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RMK12: MIC cadang tubuh jawatankuasa khas bagi Pelan Tindakan Masyarakat India
Diterbitkan:  Sep 28, 2021 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

MIC mencadangkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) yang merupakan satu inisiatif bekas perdana menteri Najib Razak.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata demikian dalam kenyataan medianya selepas pengumuman Ismail Sabri bahawa MIB akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai usaha membangunkan masyarakat India di Malaysia.

"MIC menyambut baik pengumuman RMK12 oleh perdana menteri khususnya yang mencerminkan konsep 'Keluarga Malaysia' khususnya menghidupkan semula MIB yang diabaikan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini.

"Projek MIB diilhamkan oleh Najib. Kini ia dihidupkan semula oleh perdana menteri Ismail Sabri.

"Saya ingin meminta perdana menteri agar mewujudkan satu Jawatankuasa Khas Kabinet untuk memantau dan memastikan kelancaran projek ini," katanya.

Tambahnya, MIC akan mengadakan perjumpaan dengan perdana menteri berhubung perkara ini dalam masa terdekat.

Dilancarkan April 2017, pelan sepuluh tahun itu antaranya menjanjikan untuk meningkatkan penglibatan masyarakat India dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi tempatan kepada tujuh peratus, serta mewujudkan sistem bagi memberikan kerakyatan kepada mereka yang tiada kewarganegaraan.

Ia juga menjanjikan peruntukan RM40 juta bagi bantuan pendidikan tinggi, RM500 juta untuk mewujudkan dana usahawan, dan RM500 juta bawah Permodalan Nasional Berhad untuk golongan B40 masyarakat India.

Lihat Komen
ADS