Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan disaran tubuhkan 'polis haiwan'
Diterbitkan:  Sep 30, 2021 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Persatuan Suara Haiwan Malaysia mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan agensi `Animal Police’ bagi menangani kes berkaitan kezaliman terhadap haiwan yang semakin meningkat di negara ini.

Presidennya Nashriq Ismail Sabri berkata pasukan pelindung haiwan itu akan berperanan sebagai ejen penguatkuasaan undang-undang khusus bagi melindungi haiwan daripada dianiaya atau didera oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

"Animal Police juga akan mempunyai talian ‘helplinenya’ sendiri yang bertujuan memudahkan orang ramai membuat aduan agar tindakan dapat diambil dengan kadar segera.

"Buat masa ini walaupun ada pihak yang boleh dihubungi namun ia mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan haiwan yang didera atau dianiaya itu mati," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Membantu Kucing Jalanan sempena Kempen Hari Kebajikan Haiwan 2021 di Kuala Lumpur, hari ini.

Kira-kira 100 ekor kucing jalanan mendapat suntikan vaksin dan ubat-ubatan hasil daripada program yang dianjurkan dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia, Persatuan Suara Haiwan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Putra Nilai Veterinar dan Brit Cat Food.

Sementara itu Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan taman kucing bagi memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan.

"Bila wujudnya taman kucing ini, haiwan comel ini boleh dijaga dengan baik terutama dari segi pemberian vitamin dan rutin penjagaan kebersihan harian, bahkan orang awam juga boleh menjaganya melalui permit yang diberikan, selain berpotensi untuk menjana pendapatan seterusnya dijadikan daya tarikan baru dalam aktiviti pelancongan," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini lebih 5,000 ekor kucing jalanan di Lembah Klang berjaya diselamatkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

"Daripada jumlah itu, lebih 2,000 ekor kucing telah dijadikan anak angkat kepada pencinta haiwan itu manakala selebihnya ditempatkan di pusat-pusat perlindungan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS