Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak lengkap vaksin, tak boleh makan di kedai - KJ
Diterbitkan: Β Oct 1, 2021 2:56 PM
β‹…
Dikemaskini: 6:56 AM

Hanya pelanggan yang sudah mendapatkan vaksin sepenuhnya dibenarkan makan di mana-mana kedai, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Tambah Khairy peraturan itu dikuatkuasakan tanpa mengambil kira status sesebuah negeri itu berada pada fasa berapa pun.

Katanya prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai peraturan berkenaan belum dikemas kini bagi menunjukkan peraturan baru tersebut.

Bagaimanapun katanya satu kenyataan rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

"Kelebihan makan di kedai untuk semua fasa pemulihan hanya dikhususkan kepada mereka yang sudah divaksinasi penuh," kata Khairy di Twitter hari ini.

Ciapan tersebut dibuat pada hari pertama Lembah Klang memasuki fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara.

Garis panduan yang dikeluarkan MKN pada 24 Sept tidak meletakkan syarat vaksinasi sebagai keperluan untuk seseorang boleh dibenarkan makan di kedai yang berada di fasa ketiga.

Sementara itu Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein yang dilantik mengetuai badan bagi menguruskan pandemik turut menyambut ciapan Khairy.

Kata Hishammuddin syarat tersebut bukan saja terpakai untuk pelanggan yang mahu makan di sesebuah kedai.

Malah katanya jabinet juga bersetuju agar setiap kemudahan yang ada ditetapkan tertakluk kepada vaksinasi lengkap kekal dan ia berkuat kuasa di seluruh negara.

"MKN sudah telah diarahkan agar segera mengemas kini peraturan & SOP berkaitan dan ia mesti dipatuhi sepenuhnya semua pihak demi perangi #Covid19," katanya juga di Twitter.

Lihat Komen
ADS