Kerajaan diingatkan supaya memberi perhatian kepada penyertaan dan faedah bagi rakyat tempatan dari projek Pembangunan Ekonomi Johor Selatan (SJER), jangan hanya mengutamakan kontraktor besar.

Ketua Puteri Umno Bahagian Kulai, Hasspalela Mohd Hassan berkata, jika rakyat terbanyak tidak mendapat manfaat matlamat SJER tidak menepati sasaran.

"Saya bimbang projek besar berbilion ringgit ini hanya memberi faedah kepada usahawan dan kontraktor besar sedangkan usahawan kecil terpinggir.

"Jadi kerajaan perlu membuat pemantauan supaya usahawan kecil di kampung-kampung mendapat keuntungan dari projek tersebut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melantik sebuah konsortium untuk memastikan perancangan yang dibuat di kawasan SJER menepati kehendak rakyat.

" Sehingga ini kerajaan belum membentangkan secara terperinci peluang yang boleh diraihl usahawan kecil daripada pembangunan SJER itu.

"Kita tidak mahu matlamat SJER tidak tercapai atau hanya segelintir pihak yang menekmati keuntungannya. Pihak berkenaan perlu membuat kajian yang menyeluruh bagaimana untuk membabitkan rakyat terbanyak dalam projek SJER itu," katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan projek pembangunan wilayah dan perindustrian yang bernilaim lebih RM20 bilion ini awal bulan ini.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Gelang Patah, Zainab Othman berkata, rakyat tempatan tidak mahu SJER menjadi seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan laluan Link Kedua.

"Dalam kedua-dua projek itu rakyat tempatan dipinggirkan, kita tak mahu sejuarah itu berulang," katanya.

Beliau berkata, Gelang Patah yang akan menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri baru, Nusa Jaya akan memberi limpahan pembangunan seperti perumahan, pengangkutan dan industri.

"Masyarakat setempat sangat mengalu-alukan projek SJER ini kerana ia bakal membawa perubahan kepada penduduk tempatan.

Namun kita berahap tidak berlaku situasi anak mati kehausan, kera di hutan disusukan," ujarnya.