Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mursyidul am PAS: Umno kena kaji balik siapa musuh, siapa kawan
Diterbitkan:  Oct 3, 2021 1:26 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berharap "Umno bertenang" dan mengkaji semula keputusan menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Hashim dipetik Utusan Malaysia berkata pendirian PAS jelas untuk mengukuhkan perpaduan ummah khususnya antara PAS, Umno dan Bersatu.

"(Umno perlu) kaji balik siapa musuh sebenar dan siapa kawan. Jangan terus menolak penyatuan ini kerana hanya memberi kelebihan kepada musuh.

“Kita akan menghadapi kesukaran di dalam PRU15 jika perpaduan ini ditolak. Jika berlaku pertembungan tiga penjuru yang untung bukan Islam tetapi pihak lawan. PH akan untung jika kita berpecah,” katanya.

Hashim Jasin juga meminta Umno mengenang kembali kesukaran mewujudkan gabungan Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan dua parti itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 1 Okt lalu berkata parti itu tidak akan berkompromi dengan kerusi yang dimenanginya semasa pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Katanya, ini sejajar dengan keputusan sebulat suara yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno tahun lalu.

Tegas Zahid lagi, Umno akan mempertahankan kerusi parlimen dan DUN yang dimenangi dalam pilihan raya yang lalu.

Umno menang di 54 kerusi Parlimen dan 241 kerusi DUN pada PRU14 tetapi beberapa wakil rakyatnya lompat parti.

Dalam PN, rundingan kerusi melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan di Semenanjung Malaysia, bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) di Sabah.

Secara berasingan, Umno sedang berunding dengan sekutu BN, iaitu MCA dan MIC.

Lihat Komen
ADS